18 tahun hidup dalam kecelaruan

Nik Noor Azlie
Nik Noor Azlie
A
A
A

SHAH ALAM - Akibat lewat mendapat rawatan sejak awal, seorang pemuda menanggung 'derita' selama 18 tahun sebelum disahkan penghidap Bipolar Type II.

Berkongsi kisah hidupnya, Nik Noor Azlie Raja Seman, 38, berkata, dia tidak menyangka kecelaruan yang dihadapi sejak masuk sekolah menengah sebenarnya adalah simptom penyakit mental yang memerlukan rawatan.

Namun, disebabkan tidak mendapat pengesahan dan rawatan sejak awal, dia terpaksa mengharungi alam dewasa dengan penuh mencabar sehinggakan pernah diberhentikan kerja.

"Di awal usia kanak-kanak saya terdidik pintar, bila meningkat remaja tiba-tiba hilang fokus belajar. Sejak bermula sekolah menengah, saya cepat stres, sangat sensitif dan mudah marah.

"Prestasi akademik merudum, puas berusaha meraih semula kegemilangan dalam pelajaran namun hampa.

"Beberapa kali saya sambung belajar tapi masih tak mampu untuk fokus pembelajaran. Akhirnya, saya bekerja dengan kelayakan akademik yang ada sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lanjut, Nik Noor Azlie berkata, dia juga mengalami simptom yang sama termasuk beberapa gejala tambahan lain ketika memasuki alam pekerjaan sehingga tidak mampu fokus.

Dia juga mengakui tidak mampu bekerja di bawah pengawasan atau dengan majikan membuatkan dia sering bertukar-tukar kerja.

Artikel Berkaitan:

"Banyak simptom lain yang belum dapat dirungkai puncanya. Keadaan itu membuatkan saya ambil keputusan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mengetahui punca kecelaruan yang saya hadapi.

"Akhirnya, doktor mengesahkan saya menghidap Bipolar Type II. Mimpi ngeri saya akhirnya terjawab pada usia 31 tahun setelah berbelas tahun hidup dengan sakit mental yang tidak dirawat dek kerana tidak tahu punca sebenar," katanya.

Menyedari betapa pentingnya rawatan awal, Nik Noor Azlie turut menulis buku berkongsi kisah hidupnya agar golongan ibu bapa mengambil iktibar bagi memastikan kesihatan mental anak-anak berada pada tahap stabil.

Ujarnya, persekitaran moden berisiko mengundang gejala kemurungan yang boleh membawa kepada penyakit mental.

"Ketahuilah bahawa menghidap penyakit mental yang lewat dirawat membawa kesan buruk sepanjang hidup. Jika ada yang suka mengasingkan diri, murung, sedih, mudah marah, 'slow talk' dengan mereka.

"Tanya apa masalah mereka. Mendengar mereka meluah juga satu terapi buat pesakit mental. Jangan biarkan ia melarat kerana perkara terburuk yang boleh terjadi adalah bunuh diri. Nauzubillah," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28