Lapan keracunan makan kupang, dua masuk ICU

Lapan individu terpaksa dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah ini.
Lapan individu terpaksa dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Lapan individu terpaksa dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian ini mula dikesan pada 1 April lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

"Dua kes telah dimasukkan ke ICU, lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu satu kes telah dirawat sebagai pesakit luar.

"Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot.

Tambahnya, dua kes telah dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis (kelumpuhan).

"Siasatan lanjut berkenaan kejadian itu masih dijalankan oleh Jabatan Kesihatan bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

"Beberapa sampel telah diambil untuk analisa makmal dan pemakluman kepada semua fasiliti kesihatan telah dibuat untuk mengenal pasti kes-kes yang mempunyai gejala yang sama dengan sejarah pengambilan kupang atau dwicengkerang yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, JKNS akan terus memantau perkembangan terkini kejadian keracunan kupang ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang bergejala dan mempunyai sejarah memakan kupang atau dwicengkerang yang lain dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28