Kupang beracun: Penternak batalkan tempahan pelanggan sempena Aidilfitri

Othman menunjukkan pancang kupang miliknya.
Othman menunjukkan pancang kupang miliknya.
A
A
A

PORT DICKSON - Penternak kupang di perairan Pasir Panjang di sini akur apabila tidak dibenarkan menjual dan mengeluarkan kupang serta kerang berikutan kejadian kes keracunan yang berlaku.

Meskipun mereka terpaksa menanggung rugi berikutan membatalkan tempahan pelanggan sempena Aidilftri tidak lama lagi, namun soal nyawa diberi keutamaan.

Sememangnya menjelang Aidilfitri, hidupan daripada keluarga kerang-kerangan itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan untuk dijadikan hidangan rendang, namun nampaknya tidak kali ini.

Seorang penternak kupang, Mohd Hairel Mohd Rashid, 32, terpaksa membatalkan 532 kilogram (kg) tempahan pelanggannya disebabkan kes yang berlaku.

Mohd Hairel
Mohd Hairel

"Rugi memang rugi, tapi ini soal melibatkan nyawa. Nyawa itu tak boleh dibeli dan jika berlaku apa-apa, kita yang perlu bertanggungjawab.

"Jika setiap kali hari raya kami ada buat rendang kupang atau kerang, tapi nampaknya kali ini tiadalah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, kejadian itu sememangnya mengejutkan kerana kali pertama berlaku.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dia tidak pasti apa punca sebenar tetapi kebanyakan penternak memberitahu menjumpai kerang yang lebih banyak mati daripada kupang.

"Kalau ikutkan dua tahun lepas pernah berlaku lebih kurang satu tan kupang yang mati, tapi tiada pula dengar kes begini.

Kakitangan Jabatan Perikanan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan membuat pemantauan di perairan Pasir Panjang
Kakitangan Jabatan Perikanan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan membuat pemantauan di perairan Pasir Panjang

"Sekarang ini kerang yang banyak mati, tapi kupang pula dapat nama. Ada juga kita tengok ikan mati, tapi tidaklah banyak dan kita pun tak rasa ia serius," katanya.

Pada Selasa, lapan individu dilaporkan terpaksa dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah ini.

Penternak lain, Othman Sulaiman, 40, pula memberitahu, tiada perkara luar biasa yang dilihat berlaku di kawasan perairan itu, malah baginya kes kupang mati adalah perkara biasa.

Dia percaya, tempoh untuk keadaan itu pulih kembali akan mengambil masa terutama sekali untuk mendapatkan keyakinan pembeli.

"Biasanya dua minggu sebelum raya orang dah tempah kupang ini dan biasanya untuk seorang akan, tempah sekurang-kurangnya 10kg.

"Bila jadi macam ini, kami pun tak dapat turun ke laut. Harapnya beberapa hari ini, kami akan dapat turun semula ke laut," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28