Masalah bekalan air di Pasir Mas, Tumpat selesai

Dr Izani (kiri) melihat pam yang digunakan di LRA Kelar.
Dr Izani (kiri) melihat pam yang digunakan di LRA Kelar.
A
A
A

PASIR MAS - Penduduk di daerah Pasir Mas dan Tumpat boleh menarik nafas lega untuk menyambut Aidilfitri kali ini apabila masalah gangguan bekalan air di dua daerah itu selesai sepenuhnya.

Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, pihaknya melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertindak pantas menyelesaikan punca masalah dengan menukar pam di Loji Rawatan Air (LRA) Kelar yang menjadi punca gangguan bekalan air di kedua-dua daerah tersebut.

Katanya, terdapat tiga pam di dalam sungai di loji berkenaan yang menyedut air dari Sungai Kelantan, namun dua pam mengalami kerosakan semasa paras sungai menurun pada 26 serta 28 Mac lalu.

Dr Izani (kiri) mengadakan lawatan ke muka sauk LRA Kelar, Pasir Mas pada Selasa.
Dr Izani (kiri) mengadakan lawatan ke muka sauk LRA Kelar, Pasir Mas pada Selasa.

“Pam-pam mengalami kerosakan akibat mendapan pasir dan sampah menyebabkan kakitangan AKSB mengambil sedikit masa untuk memanggil jentera berat bagi mengalihkan pam-pam sedia ada di bahagian atas sungai dan menukarkan dengan pam yang rosak.

“Pam-pam yang rosak tersebut pula dihantar untuk dibaiki sekali gus menyelesaikan masalah dalam tempoh 48 jam dan membolehkan penduduk di Pasir Mas serta Tumpat berhari raya dengan adanya bekalan air,” kata beliau pada sidang akhbar selepas lawatan ke muka sauk LRA Kelantan di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail.

Justeru, kata Dr Izani, notis awal peringatan daripada pihaknya kepada penduduk berkait masalah gangguan bekalan air sebelum ini terbatal.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyelesaian tersebut memberi manfaat kepada 13,381 akaun pengguna di Tumpat dan 35,254 akaun pengguna di Pasir Mas.

“Keseluruhan pengguna yang mendapat bekalan air dari LRA Kelar berjumlah 52,000 akaun.

“Selepas pembaikan tersebut, pengeluaran air di loji berkenaan meningkat kepada 80 juta liter per hari (JLH) dan mencukupi bagi penduduk di kedua-dua daerah,” katanya.

Dr Izani (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Izani Ismail (kanan).
Dr Izani (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Izani Ismail (kanan).

Dalam pada itu, beliau memberitahu sebuah LRA akan dibina di Pangkalan Nangka, Tumpat yang akan dapat menampung keperluan air sebanyak 50 JLH di daerah itu.

Selain itu, pihaknya juga dalam perancangan membina satu telaga tiub di kawasan Rantau Panjang bagi menyelesaikan masalah air penduduk di sempadan.

“Pembinaan loji di Pengkalan Nangka dijangka siap pada 2027 atau 2028 dan akan membolehkan 13,381 akaun pengguna di Tumpat yang menggunakan LRA Kelar dikembalikan kepada Pasir Mas.

“Sementara pembinaan satu telaga tiub di Rantau Panjang pula akan memakan sedikit masa kerana melibatkan pengambilan tanah, jadi buat sementara akan ada lori tangki air bergerak yang akan menghantar bekalan air kepada penduduk,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28