Lapor segera jika harga ayam tak munasabah - Armizan

Armizan (dua dari kanan) menunjukkan senarai barangan dalam SHMMP Aidilfitri 2024.
Armizan (dua dari kanan) menunjukkan senarai barangan dalam SHMMP Aidilfitri 2024.
A
A
A

NILAI - Orang ramai diminta membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika mendapati peniaga menaikkan harga ayam secara keterlaluan menjelang musim perayaan ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, walaupun bahan mentah itu tidak dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya (SHMMP) Aidilfitri 2024, itu bukan bermaksud peniaga boleh menaikkan harga sehingga pada tahap tidak munasabah.

"Kita akan gunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) sekiranya didapati berlakunya kenaikan harga ayam yang keterlaluan atau tidak wajar.

"Orang ramai boleh membuat aduan di semua platform aduan yang ada dengan menyertakan maklumat yang boleh membantu siasatan," katanya.

Armizan (kanan) mengangkat beras putih tempatan di sebuah pasar raya di Nilai.
Armizan (kanan) mengangkat beras putih tempatan di sebuah pasar raya di Nilai.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman SHMMP Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

Menurutnya, ayam tidak disenaraikan dalam SHMMP kali ini selepas pemantauan dilakukan menunjukkan harga bahan mentah tersebut adalah stabil dan bekalannya juga mencukupi.

Ujarnya, sempena SHMMP Aidilfitri yang akan berlangsung selama 15 hari bermula 5 April ini, sebanyak 22 barangan disenaraikan.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi pemilihan barangan ini, kita lihat kepada barang yang dikhuatiri mempunyai risiko kenaikan harga keterlaluan.

"Jadi kita harap dengan adanya pelaksanaan skim ini, sedikit sebanyak dapat kurangkan beban yang akan ditanggung rakyat untuk penuhi keperluan menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 201 kes direkodkan KPDN pada enam perayaan tahun lalu yang mana 165 kes adalah kegagalan meletakkan tanda harga merah jambu manakala hanya dua premis gagal mematuhi harga maksimum ditetapkan.

Sementara itu katanya, menerusi Ops Pantau yang dilaksanakan sepanjang Ramadan ini, sebanyak 32,348 premis diperiksa membabitkan 1,030 aduan telah diterima.

"Sebanyak 146 kertas siasatan dibuka dan sebanyak RM19,100 jumlah kompaun serta-merta yang dikeluarkan.

"Ia meliputi pelbagai kesalahan antaranya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan Akta Timbang dan Sukat 1972," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28