Penunggang motosikal maut nahas, orang ramai diminta tampil salur maklumat

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di kilometer 1, Jalan Kampung Penchalang, di sini, diminta untuk menyalurkannya kepada polis. - Gambar hiasan
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di kilometer 1, Jalan Kampung Penchalang, di sini, diminta untuk menyalurkannya kepada polis. - Gambar hiasan
A
A
A

MANJUNG - Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di kilometer 1, Jalan Kampung Penchalang, di sini, diminta untuk menyalurkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal yang terbabas sendiri pada Jumaat lalu (17 November), jam 3.52 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berusia 18 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS 150.

"Motosikal yang ditunggang mangsa bergerak dari Lekir menghala ke Seri Manjung. Apabila sampai di tempat kejadian, ketika itu sedang hujan, disyaki mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di jalan raya.

"Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Seri Manjung," katanya dalam kenyataan malam Sabtu.

Mohamed Nordin menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693. - Awani

Artikel Berkaitan: