Saham RM40 juta: Kes Farhash tetap disiasat jika ada asas - Hassan

Laporan Sinar Harian pada 21 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 21 Mac lalu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Rakyat akan menghukum Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya ahli politik dan tokoh korporat daripada Pakatan Harapan (PH) yang terpalit kes rasuah tidak diambil tindakan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim percaya, situasi itu tidak akan berlaku kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berjanji dalam usaha memerangi rasuah dengan kerajaan pimpinannya tidak akan memilih bulu dan tidak akan ada pendakwaan terpilih dilakukan.

Jelasnya, ini termasuk desakan siasatan terhadap ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador yang dikaitkan dengan isu pemegang saham besar baharu HeiTech Padu Bhd walaupun beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

Beliau percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan Madani akan bertindak dengan pendekatan yang sama ke atas Farhash.

"Ada jaminan daripada Anwar bahawa kerajaan akan siasat Farhash untuk menentukan sama ada tohmahan ke atasnya ada asas atau tidak.

"Jika perbuatan rasuah ternyata wujud, saya percaya SPRM akan membuat siasatan terperinci atau siasatan forensik seperti sama dilakukan kepada Tun Daim Zainuddin, isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, Mirzan, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, ini sekadar menyebut beberapa nama dalam usaha lawan rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Namun jika kerajaan Madani melakukan hal sebaliknya, contohnya ahli-ahli politik PH dan tokoh-tokoh korporat daripada kalangan penyokong PH yang terlibat rasuah tidak diambil tindakan, maka percayalah rakyat menjadi hakim akan menghukum PH, kerajaan Madani dan Anwar pada PRU-16," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan cek dan bakul makanan di Surau An-Nur Taman Megah Ria di sini pada malam Ahad.

Pada Rabu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil meminta siasatan dijalankan terhadap Farhash berhubung pembelian saham sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion dan melalui syarikat pelaburan Rosetta Partners Farhash telah membeli saham syarikat Heitech Padu sebanyak 16.1 juta unit dianggarkan bernilai RM40 juta.