Beli saham RM40 juta: Isham gesa Farhash disiasat

Isham
Isham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil meminta polis menyiasat Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian saham sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion.

Isham berkata, Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui syarikat pelaburan Rosetta Partners telah membeli saham syarikat Heitech Padu sebanyak 16.1 juta unit dianggarkan bernilai RM40 juta.

Menurutnya, siasatan perlu dijalankan disebabkan projek berkaitan menggunakan dana kerajaan atau dana awam yang besar.

"Farhash pula merupakan individu berprofil tinggi yang mempunyai kaitan dengan ahli politik dalam kerajaan.

"Saya khuatir sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang dalam urus niaga tersebut.

"Ini termasuk pelanggaran Seksyen 188 Akta Pasaran Modal berkenaan maklumat dalaman atau unsur mempengaruhi proses perolehan kerajaan atau mungkin bercanggah dengan Seksyen Bahagian IV Akta SPRM atau mana-mana akta perolehan kerajaan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Khamis.

Katanya, laporan polis dibuat kerana mahu melihat negara bersih daripada gejala rasuah dan kronisme ke arah tatakelola lebih baik.

Isham (tengah) membuat laporan polis terhadap Farhash di IPD Dang Wangi pada Khamis.
Isham (tengah) membuat laporan polis terhadap Farhash di IPD Dang Wangi pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Dengan laporan ini diharap PDRM, SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti dapat memulakan siasatan untuk menegakkan undang-undang.

"Selepas ini, saya akan ke SPRM dan menulis surat rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti berkaitan Akta Pasaran Modal berkenaan isu sama," katanya.

Isham pada sama turut mempersoalkan berkaitan perolehan wang RM40 juta untuk pembelian unit saham berkenaan.

Beliau berharap, Perdana Menteri yang sering menekankan aspek tatakelola dapat memberikan perhatian kepada isu ini kerana membabitkan projek kerajaan bernilai RM1 bilion.

"Syarikat terbabit merupakan antara tiga syarikat yang telah disenarai pendek untuk kontrak kerajaan yang sahamnya telah dibeli individu yang dikenali.

"Ini aspek tatakelola yang perlu diberikan perhatian dan harap diberikan maklum balas kerana menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat," katanya.