16 NGO gesa kerajaan laksana pilihan raya PBT, Dewan Negara

Kumpulan NGO itu menegaskan ketiadaan pilihan raya menafikan keupayaan rakyat untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam tadbir urus komuniti tempatan, PBT, Dewan Negara dan Malaysia.
Kumpulan NGO itu menegaskan ketiadaan pilihan raya menafikan keupayaan rakyat untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam tadbir urus komuniti tempatan, PBT, Dewan Negara dan Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan supaya mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), senator Dewan Negara dan ahli jawatankuasa kepimpinan masyarakat setempat.

Mereka berkata, desakan itu dibuat bagi menegakkan demokrasi serta menghentikan amalan sedia ada yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan dan negeri dalam memilih serta melantik perwakilan.

“Di Malaysia pada masa ini kita hanya memilih ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara demokrasi lima tahun sekali. Rakyat Malaysia tidak memilih secara demokratik wakil-wakil struktur pentadbiran lain seperti ahli majlis PBT dan Dewan Negara.

"Mereka juga tidak memilih pemimpin masyarakat tempatan mereka secara demokratik. Wakil-wakil yang dilantik negeri atau persekutuan ini bukanlah wakil rakyat yang dipilih secara bebas, oleh itu ia adalah penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak asasi manusia," kata mereka dalam satu kenyataan pada Isnin.

NGO berkenaan termasuklah Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet), Pusat Keprihatinan Orang Asli (Coac) Malaysia, Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM) dan Gagasan Insan Progresif (GIP).

Ia turut membabitkan Inisiatif Utara-Selatan (NSI), Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi.

Kenyataan berkenaan juga ditandatangani peguam dan aktivis, Charles Hector serta pemimpin masyarakat sivil, Rohana Ariffin selain sejumlah NGO antarabangsa turut sama menyokong kenyataan tersebut sebagai tanda solidariti.

Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai pada Ahad mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di bandar raya itu untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, cadangan itu mencetuskan kontroversi apabila ia dibantah dan dibidas beberapa pihak termasuk Veteran UMNO dan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Mengulas lanjut, kumpulan NGO itu menegaskan ketiadaan pilihan raya berkenaan menafikan keupayaan rakyat untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam tadbir urus komuniti tempatan masing-masing, PBT, Dewan Negara dan Malaysia.

"Kerajaan negeri dan persekutuan secara amnya cenderung untuk melantik ahli parti atau penyokong sebagai wakil dalam struktur tadbir urus yang lain ini tetapi jika ada pilihan raya, orang yang dilantik ini mungkin tidak pernah dipilih oleh rakyat," ujarnya.