Tarif air: Selangor belum boleh putuskan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar baharu tarif air di Selangor belum boleh diputuskan kerana kerajaan negeri masih menunggu maklum balas mengenainya daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Selangor tidak boleh bergerak ‘sendirian’ dalam isu berkenaan kerana sebarang perubahan atau penetapan kadar baharu tarif air akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh dengan negeri lain.

Bagaimanapun, antara aspek penting yang diperincikan dalam rundingan itu sekiranya perlu menetapkan kadar baharu tarif air bagi rakyat di negeri berkenaan adalah tahap kelestarian bekalan dan kemampuan syarikat terlibat dalam menyelenggara fasiliti industri air.

“Perbincangan (mengenai penetapan kadar baharu tarif air) sudah bertahun-tahun dilakukan. Sama ada sudah tiba masanya (untuk mengumumkan kadar baharu), kita sedang membuat keputusan itu dan akan memaklumkannya pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat-penjawat Awam Jabatan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tarif air di Selangor akan diumum bila tiba masanya, kata Amirudin

Kata Amirudin, sejak pihaknya mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri hampir dua tahun lepas, pelbagai kajian mengenai pelarasan tarif air telah dijalankan mencakupi kesemua aspek termasuk pelaksanaan dasar air percuma ketika ini.

“Paling baik (dalam menentukan kadar baharu tarif air) adalah apabila keuntungan Air Selangor Sdn Bhd (syarikat operator air) mampu dikembalikan kepada rakyat menerusi program air percuma negeri. Sekarang ini, 50 peratus (kos pemberian air percuma) ditanggung kerajaan negeri dan 50 peratus lagi hasil margin (keuntungan) Air Selangor.

“Jadi, keuntungan Air Selangor itulah yang dipulangkan semula kepada rakyat yang sebahagiannya kepada penerima skim air percuma,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan kerajaan negeri sebelum ini yang mahu mengambil alih operasi loji kumbahan Indah Water Konsortium Berhad (IWK) bagi mengelakkan berulangnya gangguan bekalan air terawat akibat pencemaran, Amirudin berkata pihaknya akan meneruskan perbincangan berkaitan isu itu dengan pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Output daripada (loji) IWK memberi kesan langsung kepada kualiti air yang mengalir ke muka sauk dan loji rawatan air (LRA) kita. Jadi, apabila sudah beberapa kali tiada jaminan (sehingga berlakunya pencemaran air), adalah lebih baik kita kendalikan sendiri supaya kita dapat tentukan kualiti airnya,” katanya.

Pada 24 Disember lepas, Amirudin dilapor berkata Air Selangor bercadang mahu menguruskan sendiri syarikat pembentungan IWK dalam usaha menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) antara kedua-dua agensi yang saling berkepentingan.

Cadangan itu ditimbulkan susulan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada 21 Disember lepas ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembetungan sekitar loji milik IWK di Bandar Bukit Mahkota, Bangi.

Susulan penutupan itu, sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna 328,957 di kawasan Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

Bagaimanapun, pada 26 Disember lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar pula dilaporkan berkata operasi loji kumbahan IWK tidak akan diserah kepada Air Selangor seperti diminta Kerajaan Selangor.

Ini kerana pencemaran sumber air disebabkan kurangnya penguatkuasaan oleh kerajaan negeri selain wujudnya pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sistem kumbahan IWK di Selangor, katanya. - Bernama