Kedai serbaneka dibaling molotov cocktail

Kesan terbakar akibat balingan molotov cocktail di pintu masuk di sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap di Kuantan pada awal pagi Sabtu.
Kesan terbakar akibat balingan molotov cocktail di pintu masuk di sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap di Kuantan pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap di sini dibaling molotov cocktail oleh individu tidak dikenali hingga berlaku kebakaran kecil di pintu masuk pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.14 pagi itu, terdapat empat rak jualan dalam premis termasuk beberapa barang jualan mengalami kerosakan akibat terkena percikan api.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita melaporkan seorang individu yang tidak dikenal pasti (suspek) telah membaling botol molotov cocktail hingga menyebabkan kebakaran di bahagian pintu masuk premis kedai serbaneka terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian, juruwang wanita berada di kaunter bayaran sedang makan sahur manakala seorang pekerja lelaki sedang menyusun barang di rak bahagian belakang.

Kesan terbakar pada beberapa barangan jualan akibat akibat balingan molotov cocktail di sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap di sini pada awal pagi Sabtu.
Kesan terbakar pada beberapa barangan jualan akibat akibat balingan molotov cocktail di sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap di sini pada awal pagi Sabtu.

"Saksi kejadian (juruwang) mendakwa dikejutkan dengan balingan molotov cocktail dari luar premis sebelum jatuh di atas karpet laluan masuk premis hingga berlaku kebakaran kecil.

"Dalam keadaan panik, wanita itu segera memadam kebakaran menggunakan alat padam api bagi mengelak kebakaran merebak.

"Selepas api dipadamkan, rakannya segera menghubungi majikan sebelum menghubungi pihak polis dan bomba," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari berkata, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi kejadian bagi mendapatkan bukti dalam melengkapkan siasatan.

"Kedai serbaneka itu dipercayai baru beroperasi kira-kira dua minggu dan tidak menolak kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang terkait dengan sebuah cawangan pasar raya itu sebelum ini.

"Anggaran kerugian akibat perbuatan khianat itu kira-kira RM500.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat dan kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28