UMNO tidak gadai prinsip agama walau 'berkawan' dengan DAP

Muhamad Akmal (kanan) bersama Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Nik Dir Wan Ku (kiri) ketika merasmikan Dewan Dato’ Haji Nik Dir di Bangunan UMNO Bahagian Marang.
Muhamad Akmal (kanan) bersama Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Nik Dir Wan Ku (kiri) ketika merasmikan Dewan Dato’ Haji Nik Dir di Bangunan UMNO Bahagian Marang.
A
A
A

MARANG - UMNO menegaskan untuk tidak sesekali menggadaikan prinsip agama walaupun ketika ini parti itu berada dalam kerajaan dan 'berkawan' bersama DAP.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka akan terus lantang bersuara bagi mempertahankan perkara-perkara berkaitan Islam dan bumiputera.

Menurutnya, langkah yang diambil itu tidak membelakangi parti sebaliknya ia mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan parti tersebut.

Muhamad Akmal ketika sidang akhbar selepas merasmikan Dewan Dato’ Haji Nik Dir di Bangunan UMNO Bahagian Marang, petang Khamis.
Muhamad Akmal ketika sidang akhbar selepas merasmikan Dewan Dato’ Haji Nik Dir di Bangunan UMNO Bahagian Marang, petang Khamis.

"Teguran itu dalam MKT (Majlis Kerja Tertinggi) iaitu MKT kata memberi sokongan penuh atas isu mempertahankan kalimah ALLAH. Saya rasa itu adalah satu sokongan dan dukungan yang kuat daripada UMNO sebab UMNO dari dulu hingga hari ini prinsipnya tetap sama.

"Mempertahankan agama Islam, mempertahankan bumiputera dan orang Melayu dan mempertahankan raja-raja. Jadi saya rasa dalam isu ini (kalimah ALLAH) kita bercakap tentang mempertahankan prinsip kita.

"Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja tiada masalah, tetapi prinsip kita ada. Kalau langgar prinsip kita sudah tentulah kita tidak akan teragak-agak untuk melawan semula," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Dato’ Haji Nik Dir di Bangunan UMNO Bahagian Marang di sini, petang Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pihak mempersoalkan tindakannya dalam isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Biro Hubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA, Lu Yen Tung, sebelum ini berkata pihaknya akur tindakan menjual stoking dengan cetakan kalimah terbabit adalah salah, namun menganggap beliau tidak seharusnya bertindak agresif tanpa bertolak ansur, berikutan permohonan maaf yang sudah dibuat pihak terbabit.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal memberitahu, langkah beliau mengajak pengguna terus memboikot kedai serbaneka, KK Mart tidak berkaitan dengan isu agama, bangsa dan institusi raja (3R).

Tegasnya, kedai serbaneka tersebut diboikot bukan atas dasar kaum tetapi untuk memberi pengajaran kerana tindakan penjualan stoking bercetak kalimah ALLAH telah menggores perasaan umat Islam di negara ini.

"Boikot (KK Mart) bukan isu 3R, saya konsisten tidak berganjak meminta rakyat terus memboikot dengan tenang untuk beri pengajaran. Kita tidak sentuh mana-mana, agama, bangsa dan kaum,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengingatkan semua pihak berhenti membangkitkan isu 3R termasuk stoking tertera kalimah ALLAH.

Selasa lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Pengasas Kumpulan syarikat itu, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah setelah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH, dua minggu lalu.

Chai, 57, dan Siew Mui, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28