Pengusaha taska didenda RM15,000 abai kanak-kanak asuhan

Nooraslindah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Nooraslindah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengusaha taska didenda RM15,000 dengan bon berkelakuan baik dua tahun dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat kerana menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak.

Hakim, Azaraorni Abd Rahman memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Nooraslindah Mohd Lassim, 45, membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak lelaki iaitu Muhammad Adam Zhaffran Mohd Shafiq, 6, telah mendedahkannya sehingga mengalami kecederaan fizikal semasa dalam jagaan tertuduh.

Perbuatan tersebut dilakukan pada jam 2.07 petang di sebuah taska di Taman Noorbar, Bukit Serindit pada 28 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau keduanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan hukuman berat berbentuk penjara sebagai pengajaran kerana kecuaian tertuduh telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda minimum kerana tidak berniat mencederakan kanak-kanak tersebut.

Dia juga memaklumkan mengusahakan taska itu untuk menambahkan pendapatan keluarga kerana suami hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu dan tertuduh berdepan penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda yang telah ditetapkan serta bon berkelakuan baik untuk tempoh dua tahun dengan cagaran RM2,000 beserta dua penjamin.

Mahkamah turut menetapkan perintah khidmat masyarakat perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!