Dua saksi kes rasuah bekas setpol Mat Sabu didenda RM15,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai dua saksi utama pendakwaan bagi kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamad Sabu, iaitu Mohd Azhar Che Mat Dali, didenda masing-masing RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Zainudin Abdul Majid, 53, dan Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 54, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding dibuat di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mahkamah memerintahkan Zainudin menjalani hukuman penjara 20 bulan sementara Ahmad Hisham 12 bulan, sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Zainudin didakwa atas dua pertuduhan memberi keterangan bercanggah semasa disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 November 2022, dengan perbicaraan kes rasuah dihadapi Mohd Azhar, 53 di di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 7 April 2023.

Ahmad Hisham pula didakwa atas satu pertuduhan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan serupa pada 9 Mei 2023, dengan keterangan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 2 November 2022.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda yang minimum kerana mereka perlu menanggung keluarga.

“Zainudin yang kini bekerja sebagai penjaga sebuah stesen minyak, menyara dua anak dan ibu yang sakit sementara Ahmad Hisham yang merupakan pengarah sebuah syarikat perlu menjaga tiga anak serta ibu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira tentang kesan dan akibat kesalahan dilakukan tertuduh yang mana perjalanan perbicaraan kes di mahkamah terkesan disebabkan masa dan kos pihak-pihak,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, mahkamah melepas dan membebaskan Mohd Azhar daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di sebuah kementerian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28