Fokus buru lailatulqadar

Laksana amal ibadah, kebajikan pada 10 malam terakhir Ramadan untuk meraih pahala 1,000 bulan

RASULULLAH SAW menghabiskan masa 10 akhir Ramadan dengan banyak beriktikaf dan beribadah di masjid. Gambar Pexels.com
RASULULLAH SAW menghabiskan masa 10 akhir Ramadan dengan banyak beriktikaf dan beribadah di masjid. Gambar Pexels.com
A
A
A

TIADA siapa pun dapat menyatakan secara tepat akan masa kehadiran lailatulqadar.

Malam yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda sehingga 1,000 bulan itu sangat diidam-idamkan setiap umat Islam.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mendapatkan lailatulqadar? Apakah ada panduan daripada Nabi Muhammad SAW untuk meraih ganjaran yang disediakan ALLAH SWT itu?

USTAZ WAN MOHD HAZIM
USTAZ WAN MOHD HAZIM

Bagi mendapatkan jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul mengenai lailatulqadar, Sinar Islam menemu bual Ketua Eksekutif Masjid Abidin (Masjid Negeri) Kuala Terengganu, Ustaz Wan Mohd Hazim Bin Mohamed@Wan Mohd Hashim.

Ujar beliau, 10 akhir Ramadan merupakan satu tempoh masa yang disebut Nabi SAW sebagai jangkaan berlakunya malam yang sangat istimewa itu.

“Kita mesti beramal ibadah dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh kerana ia adalah peluang keemasan yang diberikan ALLAH SWT kepada sekalian hamba-NYA untuk mendapat gandaan balasan amalan yang sangat hebat jika bertepatan dengannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara keistimewaan lailatulqadar seperti yang disebutkan dalam keseluruhan surah al-Qadr adalah seperti berikut:

1 - Diturunkan kitab suci umat Islam iaitu al-Quran padanya.

2 - Fadilat beramal pada malam al-Qadar adalah melebihi 1,000 bulan.

3 - Turunnya malaikat-malaikat ALLAH ke muka bumi dengan membawa rahmat kepada sekalian hamba-NYA.

4 - Limpahan kesejahteraan ALLAH kepada sekalian hamba-NYA bermula dari masuk waktu Maghrib iaitu permulaan malam hinggalah masuknya waktu Subuh.

Gandakan amalan kebajikan, solat berjemaah

Ketika ditanya mengenai amalan yang sepatutnya dilakukan umat Islam pada malam 10 akhir Ramadan itu, Wan Mohd Hazim menjawab, kesemua amalan yang berbentuk kebajikan adalah sangat baik untuk dilaksanakan.

“Ini kerana semua amalan kebajikan sebenarnya dinilai oleh ALLAH SWT dengan ganjaran tertentu sekalipun ia sekecil memberikan senyuman kepada sesama kita.

“Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Janganlah kamu memperkecilkan apa jua bentuk kebajikan, sekalipun kamu menemui saudara kamu dengan wajah yang tersenyum ceria." (Hadis Riwayat Muslim)

“Oleh itu, apa jua perkara yang baik sama ada ia kecil atau besar, fardu atau sunat, mudah atau susah, maka lakukanlah sedaya upaya kita dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH sepanjang tempoh 10 akhir Ramadan ini,” katanya.

GANDAKAN amal ibadah dan kebajikan terutamanya pada 10 akhir Ramadan. Gambar Pexels.com
GANDAKAN amal ibadah dan kebajikan terutamanya pada 10 akhir Ramadan. Gambar Pexels.com

Ulasnya, seboleh-bolehnya pastikanlah solat Maghrib, Isyak dan Subuh dilakukan secara berjemaah sepanjang 10 akhir Ramadan.

“Ini kerana banyak pendapat ulama yang telah menyatakan lailatuqadar akan pasti didapatkan oleh mereka yang memberi perhatian kepada solat berkenaan secara berjemaah,” jelasnya.

Pohon doa keampunan

Bagi yang tidak mempunyai waktu luang yang banyak atau sibuk dengan urusan kerja, beliau mencadangkan agar sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar diampunkan dosa dan dilepaskan daripada azab api neraka.

“Doa keampunan adalah seperti yang disabdakan Rasulullah SAW kepada isteri Baginda, Sayidatina Aisyah RA iaitu:

“Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAULAH TUHAN yang MAHA PENGAMPUN, yang sukakan keampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

“Oleh itu, bagi golongan yang sibuk bekerja atau petugas barisan hadapan, boleh sahaja melaksanakan ibadah memohon doa keampunan ini kerana ia bersifat fleksibel walau di mana sahaja berada dan bagaimana keadaan kita. Ini kerana ia tidak berhajat kepada wuduk, modal duit ataupun tikar sejadah,” ulasnya panjang.

Bagaimanapun katanya, umat Islam boleh juga memfokuskan doa keampunan ini pada waktu-waktu mustajab doa sepanjang malam 10 akhir Ramadan iaitu:

1 - Ketika setiap kali sujud dalam semua solat fardu dan sunat.

2 - Sepanjang hari ketika sedang berpuasa.

3 - Ketika berbuka puasa.

4 - Ketika selang masa antara azan dan iqamah.

5 - Ketika satu pertiga malam yang akhir.

6 - Ketika waktu sahur.

BERILAH peluang kepada para jemaah untuk beriktikaf dengan seluas-luasnya tanpa dikunci masjid atau surau dengan diambil juga aspek keselamatan. Gambar Pexels.com
BERILAH peluang kepada para jemaah untuk beriktikaf dengan seluas-luasnya tanpa dikunci masjid atau surau dengan diambil juga aspek keselamatan. Gambar Pexels.com

Menurut Wan Mohd Hazim lagi, beliau menasihatkan ahli jawatankuasa masjid dan surau dapat bersama-sama mengimarahkan 10 akhir Ramadan seperti:

1 - Berilah peluang kepada para jemaah untuk beriktikaf dengan seluas-luasnya tanpa dikunci masjid atau surau dengan diambil juga aspek keselamatan.

2 - Galakkan kepada para jemaah untuk makin rancak bersedekah melalui pelbagai kaedah seperti imbasan kod QR, sedekah dalam talian atau perbanyakkan akses tabung di sekitar halaman masjid dan surau.

3 - Adakan ziarah berserta agihan sumbangan barangan keperluan dapur kepada ahli kariah masing-masing yang belum berjemaah di masjid atau surau supaya dapat dijinakkan hati mereka untuk sama-sama imarahkan program di masjid.