Iktibar perang pertama umat Islam

Persiapan rapi, patuh pimpinan dan yakin janji ALLAH faktor kemenangan Perang Badar selain pertolongan-NYA

KEKUATAN tentera musyrikin yang lebih 1,000 orang, 100 ekor kuda perang dan unta yang tidak terkira jumlahnya serta 600 buah perisai dalam Perang Badar menentang tentera Islam. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com
KEKUATAN tentera musyrikin yang lebih 1,000 orang, 100 ekor kuda perang dan unta yang tidak terkira jumlahnya serta 600 buah perisai dalam Perang Badar menentang tentera Islam. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com
A
A
A

TANGGAL 17 Ramadan setiap tahun akan diingati umat Islam di negara ini apabila hari tersebut disambut sebagai hari Nuzul al-Quran.

Bagaimanapun, tarikh yang sama pada tahun kedua hijrah perlu lebih ditekankan memandangkan ia merupakan detik yang amat bersejarah apabila tercetusnya peperangan pertama umat Islam yang dipimpin Rasulullah SAW iaitu Perang Badar.

Peristiwa tersebut menjadi titik tolak berkembangnya Islam ke seluruh pelosok dunia hingga ke hari ini.

Menceritakan kembali sirah itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam khutbah Jumaat terbitannya mengupas dan menyentuh mengenai faktor kemenangan ke atas kaum musyrikin ketika itu.

Menurut JHEAINS, peperangan yang berlaku pada hari pagi Isnin, 17 Ramadan tahun kedua hijrah itu disebut sebagai Ghazwah Badar al-Kubro yang berlaku di Badar, barat daya Madinah.

Tidak seimbang, mustahil menang

“Peperangan tersebut mempertemukan dua kumpulan tentera yang tidak seimbang bilangannya. Tentera Islam yang berjuang pada ketika itu terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar hanyalah seramai 313 atau 314 orang sahaja.

“Kelengkapan perang mereka hanyalah dua ekor kuda dan 70 ekor unta yang ditunggang secara bergilir,” katanya dalam khutbah Jumaat bertajuk Iktibar Badar Kubro yang diterbitkan dalam laman web rasmi jabatan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tidak dapat dibayangkan dengan kekuatan sedemikian, tentera Islam berhadapan dengan tentera musyrikin yang terdiri daripada lebih 1,000 orang, 100 ekor kuda perang dan unta yang tidak terkira jumlahnya serta 600 buah perisai.

“Secara zahirnya, sukar bagi tentera Islam mengatasi kekuatan tentera musyrikin dan secara logiknya pula, tentera musyrikin boleh menewaskan tentera Islam dengan mudah.

“Akan tetapi pertolongan ALLAH mengatasi segala yang zahir dan logik akal itu seperti ditegaskan ALLAH dalam ayat 123 Surah Ali Imran:

“Sesungguhnya ALLAH telah memberikan kemenangan kepada kamu di Badar sedangkan kamu dalam keadaan lemah.”

TIDAK dapat dibayangkan tentera Islam berjumlah 313 atau 314 orang dapat memenangi peperangan melawan lebih 1,000 orang kaum musyrikin dalam cuaca yang panas. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com
TIDAK dapat dibayangkan tentera Islam berjumlah 313 atau 314 orang dapat memenangi peperangan melawan lebih 1,000 orang kaum musyrikin dalam cuaca yang panas. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com

Menurut mimbar, kemenangan Rasulullah SAW dan para sahabat itu berhasil daripada persiapan dan usaha keras mereka selain tidak menolak faktor pertolongan ALLAH SWT ketika itu.

“Misalnya sebelum bertempur, Rasulullah SAW mengadakan mesyuarat dengan para sahabat untuk mendapatkan pandangan dan menyusun strategi.

“Maknanya, Rasulullah SAW tidak memasuki peperangan ibarat umpan seumpan, kail sebentuk,” jelasnya.

Hurainya lagi, biarpun merupakan insan yang bijaksana dalam segenap segi dan mendapat wahyu, Baginda menzahirkan sikap tawaduk dengan meraikan pendapat orang lain sebelum membuat keputusan.

“Dalam pada itu, kepatuhan terhadap arahan pimpinan khususnya Rasulullah SAW, merupakan faktor kejayaan tentera Islam dalam peperangan ini.

“Dari sudut spritual, tentera Muslimin amat menyakini janji ALLAH yang tidak mensia-siakan orang yang berjuang untuk menegakkan agama-NYA yang suci,” katanya.

Palestin isi Ramadan ambil inspirasi Badar

Tambah JHEAINS, semangat tentera Badar itulah yang menjadi inspirasi saudara Islam kita di Palestin yang kini sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka pada bulan Ramadan ini.

“Juadah berbuka mereka amatlah menyedihkan, bahkan ada yang berbuka dan bersahur dengan meneguk air sahaja.

“Pada waktu senggang, mereka merehatkan diri dengan meletakkan senjata tetapi pada masa yang sama mengambil mashaf al-Quran untuk dibaca.

“Pada waktu malam mereka melaksanakan solat tarawih di celah-celah masjid yang telah dihancurkan oleh Zionis,” katanya.

Mimbar turut membuat perbandingan keadaan puasa di Palestin dengan realiti yang berlaku di negara kita.

“Cara mereka mengisi Ramadan ternyata berbeza dengan kita di sini. Ada yang berat tulang untuk pergi ke masjid meskipun ia dilengkapkan dengan kipas atau pendingin hawa serta hamparan karpet yang baik.

“Ada juga yang mengkritik dan membazirkan makanan serta memenuhkan tong sampah dengan makanan yang tidak sempat dijamah, kerana melayan ketamakan nafsu,” ujarnya.

Senjata mukmin paling mujarab

Berbalik kepada kisah Perang Badar, mimbar mengingatkan bahawa doa adalah senjata mukmin yang sangat berbisa.

“Dalam Ghazwah Badar al-Kubro, Baginda SAW mengangkat tangan berdoa bersungguh-sungguh sehingga terjatuh kain selendang yang dipakai di atas bahu Baginda yang mulia itu.

“Dalam hadis yang diriwayatkan Saidina Umar Bin Al-Khattab RA, Rasulullah SAW berdoa:

"Ya ALLAH, tunaikanlah janji-MU kepadaku. Ya ALLAH, sekiranya tentera Islam ini tewas, maka ENGKAU tidak disembah lagi di bumi ini." (Hadis Riwayat Muslim)

KEMENANGAN tentera Islam terhadap kaum musyrikin menjadi titik tolak berkembangnya Islam ke serata pelosok dunia hingga ke hari ini. Gambar Hiasan. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com
KEMENANGAN tentera Islam terhadap kaum musyrikin menjadi titik tolak berkembangnya Islam ke serata pelosok dunia hingga ke hari ini. Gambar Hiasan. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com

Imam Ibnu Hajar berpandangan, jika Badinda SAW dan tentera Islam tewas pada peperangan pertama itu, kaum musyrikin akan kekal menyembah berhala dan mensyirikkan ALLAH SWT.

ALLAH SWT kemudiannya memakbulkan doa Nabi Muhammad SAW yang dipanjatkan dengan penuh kesungguhan.

“Hasilnya ALLAH yang MAHA PERKASA menurunkan antara seribu hingga lima ribu malaikat untuk membantu tentara Islam.

“Tentera musyrikin akhirnya tewas dan kembali ke Makkah dengan penuh kekecewaan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!