Hina Islam: MAIM gerakkan ahli buat laporan polis

Hasanuddin
Hasanuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap seorang individu yang telah membuat hantaran video di media sosial menghina Islam, Raja-Raja Melayu dan memainkan sentimen perkauman.

Pengerusinya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, negara seharusnya mengambil pengajaran daripada beberapa tragedi rusuhan kaum sebelum ini serta insiden rusuhan luar negara akibat sentimen agama dan perkauman yang dijadikan sebagai mainan.

“Pengerusi MAIM di negeri-negeri seluruh negara telah dimaklumkan dan akan membuat laporan tersebut bermula hari ini.

“Dengan mencaci maki Nabi Muhammad, Sultan Selangor, Mufti-Mufti, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, ia sewajarnya dikenakan hukuman bagi mengelak insiden ini berulang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Baru-baru ini tular video memaparkan seorang individu menghina agama Islam dan mempertikaikan tindakan PDRM yang diambil terhadap isu melibatkan agama, raja dan bangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya telah membuka 21 kertas siasatan terhadap individu berkenaan.

Dalam pada itu, ujar Hasanuddin, meskipun pelaku hantaran tersebut dipercayai berada di luar negara, namun menjadi tanggungjawab MAIM selaku badan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk membuat laporan sebagai salah satu usaha memelihara kesucian Islam dan melestari gerakan dakwah di negara ini.

“MAIM selaku sebuah platform gabungan, permuafakatan dan kerjasama antara Yadim bersama badan bukan kerajaan Islam yang lain komited untuk mempromosikan keharmonian antara agama menerusi pelbagai pendekatan akademik dan turun padang menyantuni masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Bersama Yadim, program menyantuni masyarakat berbilang kaum sentiasa diatur dan dilaksanakan sepanjang masa bagi mempromosi keharmonian antara semua kaum di negara,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28