Hina Islam, Sultan: Exco Selangor buat laporan polis

Borhan (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam, pada Rabu.
Borhan (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung kenyataan individu yang didakwa menghina agama Islam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat berkata, laporan yang dibuat olehnya pada jam 11 pagi itu bertujuan memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan yang dikenali dengan nama N Ganesparan.

“Saya mendapati kenyataan yang dibuat oleh Ganesparan dengan jelas telah menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja-Raja dan mufti-mufti dengan menggunakan perkataan kesat.

“Kenyataan oleh Ganesparan ini boleh menyebabkan kegusaran awam dan membangkitkan sensitiviti agama yang boleh menyebabkan pergolakan serta perpecahan kaum dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan IPD Shah Alam, Seksyen 9 di sini selepas selesai membuat laporan polis pada Rabu.

Borhan (tengah) ketika sidang media di pekarangan IPD Shah Alam selepas selesai membuat laporan polis pada Rabu.
Borhan (tengah) ketika sidang media di pekarangan IPD Shah Alam selepas selesai membuat laporan polis pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Baru-baru ini tular video memaparkan seorang individu menghina agama Islam dan mempertikaikan tindakan PDRM yang diambil terhadap isu melibatkan agama, raja dan bangsa.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya telah membuka 21 kertas siasatan terhadap individu berkenaan.

Ulas Borhan, meskipun Ganesparan dilaporkan telah meninggalkan negara sejak 2017, namun menjadi tanggungjawab beliau sebagai rakyat untuk membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

“Kita tidak mahu bahawa isu ini dianggap sebagai suatu perkara yang boleh dimainkan dan menyentuh sensitiviti masyarakat, rakyat dan sebagainya,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28