Kedai serbaneka jual gula 10 sen diambil tindakan

Pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kuala Kangsar membuat pemeriksaan di sebuah kedai serbaneka yang baru dibuka di Kuala Kangsar Prima pada Rabu.
Pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kuala Kangsar membuat pemeriksaan di sebuah kedai serbaneka yang baru dibuka di Kuala Kangsar Prima pada Rabu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sebuah kedai serbaneka baru dibuka yang menjual air tin berkarbonat 99 sen dan gula berharga 10 sen sepeket di Kuala Kangsar Prima di sini dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan tersebut dibuat sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Kuala Kangsar selepas membuat pemeriksaan ke atas kedai serbaneka itu pada Rabu berhubung satu iklan jualan murah barang kawalan yang tular di media sosial.

Menurutnya, kedai serbaneka yang mempunyai cawangan di seluruh negara itu didapati menjual air tin berkarbonat berharga promosi iaitu 99 sen sejak 16 Mac 2024.

Minyak masak antara barangan yang turut disita selain gula yang dijual di kedai serbaneka berkenaan.
Minyak masak antara barangan yang turut disita selain gula yang dijual di kedai serbaneka berkenaan.

"Semakan awal mendapati pihak kedai serbaneka berkenaan disyaki tidak membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah bagi tempoh jualan melebihi tiga hari sempena pembukaan cawangan baharu mereka di bandar ini.

"Ini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 (Pindaan) 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamalludin berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pasukan serbuan juga mendapati kedai berkenaan disyaki tidak memiliki lesen runcit barang-barang kawalan berjadual (CSA) untuk menjual gula, minyak masak dan tepung.

Menurutnya, lesen CSA itu diperlukan seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas barang kawalan gula, minyak masak, tepung, resit jualan dan dokumen-dokumen berkaitan dengan nilai sitaan berjumlah RM200.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta," katanya.

Menurutnya, bagi kes tidak mengemukakan permohonan jualan murah, kedai serbaneka itu akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25,000 jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Kamalludin mengingatkan dan memberi amaran kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan dalam menjalankan perniagaan bagi mengelakkan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28