Kritikan Puad Zarkashi bersifat peribadi, tidak jejaskan pendaftaran PADU - Rafizi

Rafizi (tengah) mengadakan sesi sidang media selepas majlis Pra Pelancaran KL20 Summit 2024 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Turur hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (kanan), dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal. Foto Bernama
Rafizi (tengah) mengadakan sesi sidang media selepas majlis Pra Pelancaran KL20 Summit 2024 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Turur hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (kanan), dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, terhadap sistem pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan pandangan bersifat peribadi dan ia tidak akan menjejaskan pendaftarannya.

Beliau berkata, mana-mana perubahan (yang dilakukan kerajaan) selalunya memang akan mendapat tentangan, cuma kalau menjadi pihak kerajaan harus objektif dalam perspektif banyak pihak berkepentingan.

"Kalau saya beri perspektif dengan orang politik yang bising sangat ini ialah Puad Zarkashi. Puad Zarkashi ini kalau Malaysia kaya raya pun dia masih lagi tak setuju dengan saya, kerana saya dulu bawa isu 1MDB masa dia Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan dia kalah pilihan raya.

"Jadi ia perkara peribadi, kalau tengok empat yang bising tu ialah tokoh politik yang bising kerana peribadi, tetapi itu tidak menghalang pendaftaran PADU,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Acara Perdana KL20 di Parlimen, pada Rabu.

Rafizi berkata demikian bagi menjawab mengenai kritikan Mohd Puad terhadapnya, yang dikaitkan dengan kegagalan sistem PADU.

Beliau berkata, dalam tempoh seminggu yang lepas, setiap hari 300,000 hingga 400,000 inidividu berdaftar dengan PADU.

"Kalau dia kata dia tak yakin kerana soal keselamatan data, kita sudah bentangkan sejak 2 Jan sehingga sekarang, walaupun ada ketika serangan itu sampai dua juta cubaan seminggu, sampai sekarang masih lagi belum bocor.

"Kita dah terangkan bahawa data semua itu encrypted, kalau pun bocor masuk, ia encrypted mereka perlu decryt data itu. Dia tak pernah tanya pula kalau syarikat swasta yang dia bagi e-dompet semua segala pendaftaran itu, sama ada yang syarikat swasta tu encrypted ke tidak.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak sepatutnya hilang fokus, kerana PADU ialah komponen yang sangat penting kepada beberapa pembaharuan besar kerajaan, bukan sahaja merangkumi subsidi bersasar, tetapi ada banyak lagi pembaharuan lain terutamanya yang melibatkan GOVTECH,” katanya.

Rafizi berkata, setakat hari ini, lebih kurang 8.5 juta telah mendaftar PADU dan beliau jangka menjelang 31 Mac nanti ia akan cecah 10 juta.

Mengenai isu keselamatan data PADU, beliau berkata, data melalui sistem PADU diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Pasal keselamatan data, komen itu biarlah komen yang berpatutan kerana pada satu pihak kita bagi data kepada semua, nak beli tiket wayang pun bagi data, beli belah dalam talian pun bagi data, dan data itu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi yang tidaklah seketat ini dan dia tak ada liabiliti ketat seperti OSA, sedangkan data yang diberikan kepada kerajaan ialah data di bawah OSA.

"Jadi saya rasa boleh untuk ada kerisauan, tetapi biarlah perspektif itu suatu yang adil supaya kita tidak terpesong dari apa yang penting dalam misi nasional dan PADU merupakan satu komponen yang penting,” katanya.

Rafizi berkata, pendaftaran PADU fasa kedua, mungkin akan dibuka semula selepas pendaftaran dan pengesahan maklumat dalam sistem itu selesai pada 31 Mac.

"Terdapat isu contohnya suami isteri masing-masing tak setuju nak jadi ketua isi rumah. Kita akan ambil maklum supaya bila kita buka balik pendaftaran PADU dan mungkin pada hujung tahun ataupun berapa bulan selepas ini, untuk kemas kini isu berbangkit.

"Memang betul ada yang anak yang kata ibu bapa saya tak nak daftar, tetapi saya yang nak daftar kalau tidak mungkin akan ketinggalan. Cuma, saya rasa dari segi ketinggalan itu sebab data itu memang sudah sedia ada, malah kalau ibu bapa tidak daftar, kita mungkin akan boleh kenal pasti isi rumah ini memang perlukan bantuan.

"Cuma panjang cerita sikitlah bila dia tak daftar lagi dan kita nak bagi duit kat dia, kita kena hubungi dia suruh dia daftar untuk dapatkan maklumat akaun bank dan sebagainya,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28