Lebih 2 juta cubaan tembusi ciri keselamatan PADU setiap hari - Rafizi

Kementerian Ekonomi dedahkan lebih dua juta cubaan menembusi ciri keselamatan sistem PADU pada bulan pertama ia diperkenalkan. Foto hiasan
Kementerian Ekonomi dedahkan lebih dua juta cubaan menembusi ciri keselamatan sistem PADU pada bulan pertama ia diperkenalkan. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Ekonomi mendedahkan lebih dua juta cubaan menembusi ciri keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pada bulan pertama ia diperkenalkan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada pihak yang berjaya ekoran ciri-ciri keselamatannya mematuhi piawaian global termasuk komponen keselamatan rangkaian.

Beliau berkata, tiga komponen utama keselamatan data ditampilkan PADU antaranya membabitkan pelaksanaan kawalan akses capaian serta penyulitan.

"Setiap data didaftarkan di PADU adalah 'encrypted’, bermaksud walaupun ada yang berjaya memecah masuk dan memuat turun fail, ia perlu dinyahsulitkan.

"Kecuali penggodam itu guna super komputer yang boleh menyahsulitkan data, tetapi ia suatu yang merapu," katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah kawalan data PADU daripada disalahgunakan.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menegaskan, sistem itu tidak dibenarkan diakses dari luar negara dan lokasi akan dikategorikan berisiko berdasarkan rekod cubaan akses kebanyakannya dari luar Malaysia.

"Insya-ALLAH kaedah dinyatakan akan memastikan keselamatan PADU daripada penyalahgunaan selain memastikan tiada keciciran berlaku dalam pendaftaran," ujarya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai pendaftaran, Rafizi berkata, seramai lapan juta warga tempatan berumur 18 tahun ke atas sudah mendaftar setakat jam 11.59 malam Isnin.

Jumlah itu katanya, mewakili 36.8 peratus daripada keseluruhan dengan mengunjurkan pendaftaran akan mencapai 50 peratus berdasarkan kadar pendaftaran antara 350,000 hingga 400,000 sehari menjelang 31 Mac depan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!