Bekas pengurus didakwa tipu jual beli 155 jongkong emas

Mohd Saibulrijal (tiga, kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi 80 pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, memalsukan dokumen dan menipu kakitangannya membabitkan 155 jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta, antara tahun 2019 hingga 2021 lalu.
Mohd Saibulrijal (tiga, kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi 80 pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, memalsukan dokumen dan menipu kakitangannya membabitkan 155 jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta, antara tahun 2019 hingga 2021 lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus perhubungan pelanggan sebuah bank didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 80 pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, memalsukan dokumen dan menipu kakitangannya membabitkan 155 jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta, antara tahun 2019 hingga 2021 lalu.

Mohd Saibulrijal Mohd Saad, 46, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Bagi 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, dia dituduh telah menggunakan dokumen tulen iaitu ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut 26 pertuduhan menipu, lelaki bujang itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap beberapa pegawai bank berkenaan.

Dia dituduh memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa beberapa pelanggan mahu mengeluarkan dan membeli jongkong emas pelbagai berat menggunakan borang ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’ yang dikatakan ditandatangani pelanggan.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut tujuh pertuduhan salah guna harta, lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna putih, didakwa melakukan kesalahan berkenaan iaitu jongkong emas seberat antara 0.05 hingga 1kg kepunyaan empat wanita.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi satu lagi pertuduhan pecah amanah, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menyalah gunakan harta iaitu dua jongkong emas dengan setiap satu seberat 0.5kg, kepunyaan seorang wanita bergelar Datin, berusia 75 tahun.

Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman, penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan, dan bolehlah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di bank berkenaan di Bangsar Shopping Centre, di sini, antara 15 Oktober 2019 hingga 24 Ogos 2021.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 bagi keseluruhan kes dengan seorang penjamin.

“Ia berserta syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar kadar itu dikurangkan kerana dia telah disaman oleh semua mangsa dalam kes berkenaan.

“Bagi syarat serahan dokumen perjalanan itu, saya telah serahkannya kepada mahkamah, sekali gus menyebabkan saya tidak dapat ke mana-mana (luar negara).

“Saya akan bincang dengan keluarga untuk melantik peguam bagi kes ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap kes (RM465,000) dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada Julai tahun lalu, media melaporkan, Mohd Saibulrijal dibebaskan daripada lima kes memalsukan dokumen dan menipu dalam transaksi jongkong emas, namun dia dituduh semula atas 47 pertuduhan menipu membabitkan kerugian sebanyak RM3.1 juta, antara Mac dan Jun 2021.