Ahli perniagaan didakwa tipu, salah guna harta syarikat RM13.4 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan menipu, pecah amanah dan menyalahgunakan harta syarikat, melibatkan kerugian berjumlah RM13.4 juta.

Chan Eng Leong, 50, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Eng Leong didakwa menipu Goh Kim Heong, pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd, dengan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM11 juta untuk menyelesaikan dua kes cukai rokok dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta satu kes berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan pihak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Berjaya Indah dan Jalan Bukit Teh, Machang Bubok dalam daerah Seberang Perai Tengah, antara 11 April 2019 hingga 21 November 2019.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh yang ketika itu pengarah syarikat Global Tobacco didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana syarikat tersebut, dengan meluluskan pembelian hartanah bernilai RM1.8 juta tanpa kelulusan pihak syarikat pada 1 Oktober 2019 di Jalan Bukit Teh, Machang Bubok.

Kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Eng Leong juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat sama, membabitkan nilai RM600,000 pada 3 Oktober 2019 di Jalan Bukit Teh, Machang Bubok mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar memohon tertuduh dikenakan jaminan secara kumulatif bernilai RM200,000.

Artikel Berkaitan:

Peguam RSN Rayer yang mewakili Eng Leong merayu jaminan lebih rendah mengambil kira anak guamnya memberi kerjasama yang sangat baik, malah pernah dihadapkan ke mahkamah pada 2021 atas pertuduhan sama tetapi kemudiannya dilepas tanpa dibebaskan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.- Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28