'Empat jongkong emas RM1 juta tersorok'

Allaudeen menunjukkan peti besi yang berjaya dijumpai dalam Sungai Sembrong, Batu Pahat di Johor 19 Mac lalu.
Allaudeen menunjukkan peti besi yang berjaya dijumpai dalam Sungai Sembrong, Batu Pahat di Johor 19 Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat penjenayah 'terkedu' apabila peti besi milik usahawan wanita yang dilarikan mereka di Padang Balang di sini rupanya mempunyai ruangan khas yang menyimpan empat jongkong emas.

Ia terbongkar selepas polis berjaya menemui semula peti besi itu di dalam Sungai Sembrong, Batu Pahat di Johor pada 19 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam kes itu, suspek menyangka selesai membawa keluar semua barang kemas dalam peti tersebut.

"Suspek kemudian telah membuang peti besi itu ke Sungai Sembrong.

"Susulan penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun termasuk tiga wanita, soal siasat membawa pihak polis ke sungai terbabit sebelum berjaya menemui peti besi itu dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Allaudeen berkata, pemeriksaan polis pada peti besi itu menunjukkan terdapat ruangan kecil tersembunyi di bawahnya dan terdapat empat ketul jongkong emas bernilai kira-kira RM1 juta.

Tambahnya, polis percaya suspek tidak menyedari terdapat ruangan khas itu.

Susulan itu, Allaudeen menasihatkan orang ramai khususnya pempengaruh supaya tidak menyimpan barangan berharga di rumah, sebaliknya menyimpannya di bank.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ada barangan berharga simpan dalam bank jangan pula simpan bawah bantal (di rumah) supaya harta itu selamat dan tidaklah terdedah kepada jenayah," ujarnya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, semua suspek ditahan pada 5 Mac lalu oleh Unit Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di Batu Pahat, Johor.

Selain jongkong emas, polis turut menemukan 15 utas rantai emas, gelang emas (14), cincin emas (2), beg berjenama (7), loket emas (1) dan subang emas (1) dianggar bernilai RM2.1 juta di sebuah kediaman di Batu Pahat

Semua suspek direman Polis Selangor sehingga 16 Mac lalu sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes pecah rumah yang berlaku di Padang Balang itu.

Pada 4 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang usahawan terbabit selepas kediamannya di Padang Balang, Sentul di sini, dipecah masuk penjenayah yang melarikan sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang tunai RM3 Juta bersama beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik ahli keluarga.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

'Empat jongkong emas RM1 juta tersorok' #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Jenayah #Kes #Polis #PetiBesi #Usahawan #Wanita #Emas

Funny Song - Funny Song Studio & Sounds Reel