Tujuh rumah terbakar, anggota bomba cedera ketika operasi

KINABATANGAN – Seorang anggota bomba cedera ketika menjalankan operasi memadamkan kebakaran membabitkan tujuh rumah di Kampung Pangkalan Bukit Garam, Kinabatangan, di sini, pada malam Selasa.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mohammad Azri Laji, 24, cedera di bahagian kaki akibat terpijak paku semasa melakukan kerja memadamkan api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.08 malam.
Katanya, seramai 17 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Kota Kinabatangan.
“Sebaik tiba, didapati tujuh rumah jenis tidak kekal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar.

“Operasi memadamkan api segera dilakukan dengan menggunakan sumber air daripada jentera dan pili bomba selain sumber terbuka iaitu sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, semasa operasi dijalankan, seorang anggotanya cedera di bahagian kaki.
“Anggota tersebut terpijak paku sehingga tembus pada kasutnya semasa melakukan kerja memadamkan kebakaran.
“Anggota itu telah diberikan rawatan di hospital semalam dan kini dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Katanya lagi, operasi memadam kebakaran ditamatkan pada jam 1.40 pagi selepas memastikan kawasan tersebut selamat.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 11.20 malam dan menyelamatkan 10 lagi rumah berhampiran daripada terbakar.
“Tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan dalam kejadian tersebut dan setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang anggota bomba cedera ketika menjalankan operasi memadam kebakaran di Kinabatangan
- Kebakaran membabitkan tujuh rumah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda
- Operasi memadam api dijalankan dengan sumber air dari jentera, pili bomba dan sungai berhampiran
- Anggota yang cedera terpijak paku dan telah diberikan rawatan di hospital
- Operasi memadam kebakaran berjaya mengawal api dan menyelamatkan 10 lagi rumah berhampiran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
