Pembenihan awan di Sabah dilaksanakan bermula esok

Hajiji (tengah) mendengar taklimat daripada Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda (kiri) berhubung situasi semasa kebakaran melibatkan hutan dan belukar di seluruh negeri ketika ini.
Hajiji (tengah) mendengar taklimat daripada Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda (kiri) berhubung situasi semasa kebakaran melibatkan hutan dan belukar di seluruh negeri ketika ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mencadangkan operasi pembenihan awan dilaksanakan pada Khamis hingga Sabtu ini di kawasan yang terjejas di negeri ini akibat cuaca panas dan kering.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kos untuk pembenihan awan akan ditanggung sepenuhnya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MetMalaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia serta bantuan teknikal untuk tujuan itu.

"Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan," katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Menara Kinabalu di sini pada Rabu.

Tambah beliau lagi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

"Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah," katanya.

Bercakap mengenai masalah air yang dihadapi penduduk yang terjejas akibat kemarau berpanjangan ini, beliau telah mengarahkan supaya bekalan air diagihkan kepada 58,080 ketua isi rumah (KIR) merangkumi 355 kampung dalam 12 daerah di seluruh negeri.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama NADMA.

"Jabatan Air Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau lagi, antara daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

"Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari lalu dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai program dihadirinya, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM267,444 kepada JBPM untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

Katanya, peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih, 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

"Sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah. Kerajaan Negeri berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran," katanya.

Setakat 26 Mac ini, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas lebih 3,800 hektar di seluruh negeri dan daripada jumlah itu kira-kira 3.4 hektar kebakaran berlaku di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28