Pembenihan awan tumpu tiga kawasan di Sabah

Tangki yang dimuatkan ke dalam pesawat TUDM mengandungi bancuhan air dan garam untuk tujuan pembenihan awan di Sabah.
Tangki yang dimuatkan ke dalam pesawat TUDM mengandungi bancuhan air dan garam untuk tujuan pembenihan awan di Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pembenihan awan yang dilaksanakan bermula Khamis menumpukan tiga kawasan utama iaitu di pantai barat dan pantai timur Sabah.

Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin memaklumkan bahawa Ibu Pejabat MetMalaysia ada menerima permohonan daripada kerajaan Sabah untuk melaksanakan pembenihan awan tersebut.

Menurutnya, mesyuarat untuk pelaksanaan proses pembenihan awan itu telah dilakukan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Bagaimanapun, tempoh hari ia tidak boleh terus dilakukan kerana keadaan cuaca yang kering. Apabila kajian dibuat tarikh 28, 29 dan 30 Mac mempunyai udara yang lembab sesuai untuk tujuan pembenihan awan.

"Jadi kita memutuskan tarikh tersebut untuk dilaksanakan pembenihan awan yang dimulakan hari ini yang secara amnya dilakukan di tiga kawasan utama iaitu dua di pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Sandakan manakala satu lagi di Papar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, keupayaan pesawat TUDM hanya mampu memuatkan sekitar empat tangki air bancuhan untuk tujuan proses pembenihan awan tersebut.

"Jadi empat tangki itu secara asasnya kami anggarkan mungkin cukup untuk dua daripada tiga kawasan tersebut. Setiap satu tangki membabitkan bancuhan sebanyak 1,500 liter air dan 200 kilogram garam.

"Keseluruhannya untuk empat tangki air terdapat 6,000 liter air dan 800 kilogram garam yang digunakan untuk tujuan pembenihan awan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fairudz bagaimanapun berkata, proses itu tetap bergantung dengan keadaan cuaca lembab dan angin di lapangan mengikut taklimat akhir sebelum pelaksanaannya.

"Jadi hari ini bergantung pada keadaan di lapangan dan juga taklimat akhir. Semua bergantung dengan keadaan, jika ada awan terbentuk dan faktor angin maka jam 11 pagi pesawat bolehlah diterbangkan untuk melakukan proses tersebut," jelasnya.

Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkongsi di laman Facebook miliknya bahawa Pasukan Operasi Pembenihan Awan Sabah telahpun berlepas dari Labuan untuk proses pembenihan awan di negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!