Bekas pengurusan JPM, MOF akan beri keterangan kes jenayah Adam Radlan

Adam Radlan (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi sebutan kes rasuah dan akta pengubahan wang haram (AMLA), tiga tahun lalu.
Adam Radlan (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi sebutan kes rasuah dan akta pengubahan wang haram (AMLA), tiga tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan bekas pengurusan tertinggi di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan merupakan antara saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes jenayah berkaitan projek Jana Wibawa membabitkan Adam Radlan Adam Muhammad.

Pihak pendakwaan berkata demikian selepas sebutan kes rasuah dan akta pengubahan wang haram (AMLA) dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Bagaimanapun, senarai nama lengkap dan jawatan saksi yang akan dipanggil hanya dimaklumkan pada hari perbicaraan kelak.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh berkata, ketika sebutan kes terdahulu, mahkamah menetapkan Rabu untuk status dokumentasi sebagai persediaan bicara dan arahan lanjut berkaitan penyataan saksi.

Farah Yasmin berkata, semua dokumentasi telah diserahkan kepada pihak pembelaan kecuali pernyataan saksi.

“Mengikut peruntukan undang-undang, dokumen terbabit hanya akan diberikan kepada pembelaan tertuduh, dalam masa 14 hari sebelum prosiding.

“Justeru itu, kami akan serahkan pernyataan saksi pertama, 14 hari sebelum tarikh bicara yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 27 hingga 29 Mei depan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan, 43, memohon pihak pendakwaan dapat menyerahkan dokumen saksi itu sebulan sebelum perbicaraan bermula.

Artikel Berkaitan:

“Setelah mendapat arahan daripada anak guam, kami mohon pernyataan itu diserahkan lebih awal kerana kami perlu meneliti dokumen berkenaan sebelum prosiding dijalankan.

“Lebih-lebih lagi ia melibatkan seramai 47 saksi, maka kami harap diberi masa sebulan sebelum tarikh saksi itu dipanggil,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana berkata, peruntukan undang-undang adalah terpakai dalam kes ini.

Susulan itu beliau berkata, mahkamah mengarahkan setiap pernyataan saksi diberi kepada pihak pembelaan 14 hari sebelum mereka dipanggil memberi keterangan.

Dalam prosiding sama, Farah Yasmin berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan senarai 47 nama saksi kepada pihak Adam Radlan.

“Kami mohon semua pihak tidak mengganggu saksi-saksi ini sepanjang kes berjalan,” katanya, yang kemudiannya disahkan oleh pihak pembelaan.

Hakim kemudiannya menetapkan sebutan kes akhir pada 9 Mei untuk status serahan pernyataan saksi dan mengekalkan tarikh bicara yang ditetapkan sebelum ini.

Sebelum ini, perbicaraan kes ditetapkan selama 15 hari bermula 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokkan harinya, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Pada 28 Februari tahun sama, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara, Januari 2022.

Pada 25 Oktober tahun sama, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan menggunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam sekali lagi pada 9 November 2023, atas enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta.

Lima kes rasuah Adam Radlan dibicarakan bersama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28