Jana Wibawa: 47 saksi akan beri keterangan terhadap Adam Radlan

Adam Radlan (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi sebutan kes rasuah dan AMLA yang dihadapinya.
Adam Radlan (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi sebutan kes rasuah dan AMLA yang dihadapinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa membabitkan Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen di sini memaklumkan, seramai 47 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh berkata demikian ketika sebutan kes rasuah dan pengubahan wang haram (AMLA) dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Farah Yasmin berkata, saksi-saksi ini akan memberi keterangan berdasarkan pernyataan saksi dan dokumentasi bagi semua kes terbabit telah pun diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Mahkamah sebelum ini menetapkan Jumaat untuk sebutan kes bagi status pertuduhan di bawah pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan predikat.

“Susulan itu, kami memohon kes terbabit dibicarakan bersama kerana ia berkaitan transaksi yang sama,” katanya.

Farah Yasmin memaklumkan, pihak pendakwaan turut bertanya kepada pihak pembelaan berhubung sama ada penyataan saksi boleh diserahkan 14 hari sebelum saksi dipanggil beri keterangan.

Sementara itu, peguam, Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan tidak membantah permohonan penggabungan kes berkenaan.

Menyentuh serahan pernyataan saksi, beliau berkata, perkara itu perlu mendapatkan arahan daripada peguam utama.

Artikel Berkaitan:

“Ia sama ada kami bersetuju penyataan saksi diserahkan 14 hari sebelum saksi dipanggil akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Suzana kemudiannya membenarkan semua pertuduhan dihadapi Adam Radlan dibicarakan bersama.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac depan, untuk status dokumentasi sebagai persediaan bicara dan arahan lanjut berkaitan penyataan saksi.

Sebelum ini, perbicaraan kes ditetapkan selama 15 hari pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokkan harinya, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Pada 28 Februari tahun sama, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara, Januari 2022.

Pada 25 Oktober tahun sama, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam sekali lagi pada 9 November 2023, atas enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta.

Lima kes rasuah Adam Radlan dibicarakan bersama - Sinar Harian