Adam Radlan berdepan enam lagi kes AMLA

Adam (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi prosiding kes rasuah dan AMLA berkaitan Jana Wibawa.
Adam (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi prosiding kes rasuah dan AMLA berkaitan Jana Wibawa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Bahagian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad berdepan enam lagi pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 9 November lalu.

Adam Radlan, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Adam (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi prosiding kes rasuah dan AMLA berkaitan Jana Wibawa.
Adam (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi prosiding kes rasuah dan AMLA berkaitan Jana Wibawa.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd didakwa memindahkan wang itu dari akaun CIMB Bank Berhad milik Syarikat Bayu Bumiraya ke akaun miliknya dan tiga individu lain antaranya Nabilah Mahiaddin dan Ameer Azlan Mohd Ayob.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Jaya One, di sini antara 1 Disember 2021 hingga 27 Disember 2022.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama dan dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, ahli politik ini berdepan enam pertuduhan lain iaitu lima kes rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan satu AMLA.

Artikel Berkaitan:

Ini menjadikan ahli perniagaan tersebut berdepan 12 pertuduhan meminta, menerima rasuah dan AMLA, yang mana ia akan didengar oleh Hakim, Suzana Hussin.

Pada 21 Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pada 22 Februari pula, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Pada 28 Februari, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara, Januari tahun lalu.

Pada 25 Oktober pula, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan menggunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 bermula 2021 lalu.

Sementara itu, semasa prosiding, Suzana membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry supaya kesemua 12 pertuduhan itu dipindahkan ke mahkamah ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh pula memaklumkan, pihaknya akan membuat permohonan agar kesemua kes ini dibicarakan secara bersama.

“Pihak kami belum boleh membuat permohonan itu kerana pihak pembelaan memaklumkan mereka perlu meneliti dokumen bagi kesalahan AMLA terlebih dahulu.

“Susulan itu, kami mohon mahkamah menetapkan satu tarikh singkat untuk perkembangan perkara tersebut,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan mengesahkan perkara terbabit.

Suzana kemudiannya menggunapakai jaminan yang ditetapkan di sebelum ini iaitu RM420,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.