'Pendakwaan terhadap saya bermotif politik' - Adam Radlan

Adam Radlan - Foto Bernama
Adam Radlan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad menyifatkan pendakwaan terhadapnya bersifat politik.

Beliau menerusi satu kenyataan berkata, akan berjuang habis-habisan untuk memastikan keadilan ditegakkan atas prinsip berani kerana benar.

"Saya mempunyai kepercayaan sepenuhnya dalam sistem kehakiman negara kita yang dibina atas prinsip ketelusan dan keadilan," katanya pada Selasa.

Meskipun perjalanan untuk membersihkan namanya melalui tempoh yang panjang, Adam Radlan berkata, beliau percaya bahawa kebenaran dan keadilan akan berjaya ditegakkan.

"Saya dengan rendah hati meminta sokongan dan doa daripada semua untuk tempoh yang mencabar ini," katanya.

Jelas Adam Radlan, kejujuran dan integriti menjadi tunjang utama dalam dunia perniagaan dan pembinaan yang disertai lebih dua dekad.

"Saya yakin bahawa pemeriksaan teliti akan menunjukkan bahawa semua tindakan perniagaan dan keputusan saya selaras dengan undang-undang," katanya.

Terdahulu, Adam Radlan menghadapi enam lagi pertuduhan baharu pengubahan wang haram membabitkan nilai RM3.6 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Beliau sebelum ini pada 21, 22, 28 Februari serta 25 Oktober lalu telah didakwa dengan enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah termasuk pengubahan wang haram di mahkamah sama.

Pendakwaan terbaharu itu menjadikan ahli perniagaan tersebut kini berdepan 12 pertuduhan yang mana kesemuanya akan didengar di hadapan Hakim Suzana Hussin.