Insiden khianat boleh sebabkan kemudaratan, ancam nyawa

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ISU melibatkan penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di cawangan kedai serbaneka KK Mart sekali lagi menggemparkan orang ramai apabila terdapat cubaan khianat yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

Umum mengetahui sebelum ini tular sebuah gambar pada 13 Mac lalu, memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Ia mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan politik yang turut menyatakan kecaman dan gesaan boikot berhubung isu berkenaan.

Pada 16 Mac, pengurusan KK Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berkenaan di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Pada Selasa, polis mengesahkan kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling dengan bom petrol. Bagaimanapun, serangan tidak mengakibatkan kebakaran di kedai itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati terdapat serpihan botol kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di lantai kedai berkenaan.

Situasi yang berlaku itu menimbulkan kebimbangan kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan bahaya serta mengancam nyawa orang ramai terutamanya pekerja kedai berkenaan.

Pada Selasa, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung isu perbuatan khianat membaling bom petrol di salah sebuah kedai serbaneka KK Mart pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

AMK dalam kenyataan berkata, insiden terbaharu yang berlaku di Perak itu dikhuatiri menjadi pemulaan kepada keresahan awam yang tidak dapat dikawal susulan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di cawangan kedai berkenaan.

Sudah tentu masyarakat terutamanya umat Islam berhak untuk meluahkan perasaan, mengecam serta mengkritik isu tersebut kerana ia melanggar batas dan menyentuh sensitiviti keagamaan.

Namun begitu, ia bukan lesen untuk orang ramai bertindak luar jangka sehingga merosakkan harta benda dan mendatangkan kemudaratan.

Sekiranya tidak dikawal, insiden khianat seperti membaling bom petrol itu berkemungkinan akan semakin parah dan sudah tentu suatu hari ia akan mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Justeru, masyarakat diingatkan supaya berpada-pada dalam setiap tindakan yang dilakukan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28