Tiada bonus Aidilfitri untuk penjawat awam Kelantan

Mohamed Fadzli (tengah) diiringi Mohammad Ahmad Shazly (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima di Kota Bharu pada Selasa.
Mohamed Fadzli (tengah) diiringi Mohammad Ahmad Shazly (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada pemberian bonus Aidilfitri kepada penjawat awam Kelantan tahun ini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata, perkara itu berikutan bantuan khas kewangan penjawat awam Kelantan sebanyak RM2,000 sudah diberikan pada November lepas oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang dikira sebagai 'bonus raya'.

“Kita raya pada April, jadi jaraknya sangat dekat. Bantuan itu juga boleh dianggap sebagai bonus raya bagi membantu penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang kemampuan sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Petronas di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya sangat menghargai penjawat awam yang banyak membantu kerajaan dan akan melihat keperluan mereka dari semasa ke semasa.

Mohamed Fadzli (tujuh dari kiri) dan Mohammad Ahmad Shazly (enam dari kiri) serta beberapa kenamaan bergambar dengan barisan penerima sumbangan.
Mohamed Fadzli (tujuh dari kiri) dan Mohammad Ahmad Shazly (enam dari kiri) serta beberapa kenamaan bergambar dengan barisan penerima sumbangan.

“Apabila suasana ekonomi semakin baik, kerajaan akan pertimbangan bantuan-bantuan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, pihaknya memperuntukkan keseluruhan bantuan sebanyak RM270,000 kepada 1,350 keluarga penerima di kawasan pantai timur.

Menurut beliau, jumlah itu merangkumi 550 keluarga daripada 11 jajahan di Kelantan yang menerima sumbangan barangan keperluan makanan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM110,000.

Artikel Berkaitan:

“Setiap keluarga terpilih menerima barangan makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, kari ayam dalam tin, sardin, gula, tepung gandum, garam, serbuk minuman coklat dan teh.

“Selain itu, mereka juga turut menerima barangan persediaan Aidilfitri seperti beras pulut, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli memaklumkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi mengkaji semula 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang sebelum ini dibatalkan Mahkamah Persekutuan, belum bersidang.

“Jawatankuasa itu baru ditubuhkan dan Dewan Undangan Negeri pun baru tiga minggu lepas bersidang.

“Ahli-ahli jawatankuasa sudah dilantik tetapi sekarang bulan puasa dan mesyuarat itu akan diadakan selepas ini,” katanya.

Menurut beliau yang juga pengerusi jawatankuasa khas berkenaan, pihaknya akan melakukan penelitian sewajarnya bagi permulaan langkah kajian semula 16 seksyen tersebut.

“Jawatankuasa itu sendiri akan melihat dengan terperinci dan mencari kaedah untuk membolehkan 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dikembalikan,” katanya.

Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan usul persendirian bagi memartabatkan semula enakmen tersebut selepas 16 seksyen di bawah enakmen itu dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu.

Dalam perkembangan musim kemarau yang berlaku hampir di semua negeri termasuk Kelantan, Mohamed Fadzli berkata, solat hajat akan diadakan sebagai ikhtiar oleh umat Islam.

“Sebelum ini pun kita sudah pernah mengadakan solat hajat apabila berlaku kemarau berpanjangan.

“Insya-ALLAH solat hajat ada dalam perancangan dan memang dalam Islam disunatkan berbuat demikian,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28