Sokong produk Muslim ganti boikot

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SEJAK beberapa minggu ini, kempen boikot terhadap pasar raya yang menghina Islam bukan sahaja menjadi sohor, malah menimbulkan ketakutan terhadap pemilik perniagaan kerana bimbang mengalami kerugian.

Situasi ini membuktikan bahawa kuasa beli pengguna amat besar terutama dalam kalangan masyarakat Islam yang merupakan majoriti penduduk di negara ini.

Penyatuan kuasa pengguna ini bukan sahaja boleh meruntuhkan sesuatu jenama atau perniagaan tetapi mampu melonjakkan perniagaan lain.

Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap produk yang pro-Zionis Israel apabila mengalami kerugian di peringkat global akibat hilangnya nilai empati mereka terhadap saudara kita di Gaza, Palestin.

Namun, kesempatan ini seharusnya diambil untuk menyemarakkan kembali kempen Buy Muslim First (BMF) atau beli barangan Muslim dahulu yang pernah digerakkan sekitar tahun 2019.

Kempen BMF ini sebenarnya mula dicetuskan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), malah tanda dagangan BMF ini turut didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada tahun 2016 oleh DPIM Perak.

Kemuncak kempen berkenaan adalah pada tahun 2019 yang berjaya mencetuskan gelombang dan harapan baharu kepada usahawan Muslim untuk bersaing dengan syarikat-syarikat lain.

Hasilnya, bisnes peruncitan dalam kalangan orang Islam berkembang selain pelbagai bentuk perkhidmatan yang berkualiti ditawarkan oleh usahawan Islam sehinggakan pasaran terpaksa mengikut telunjuk pengguna Islam.

Artikel Berkaitan:

Malah, pada tahun lalu, kempen BMF itu sudah pun dibawa ke peringkat global menerusi inisiatif yang dilakukan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim bersama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

Jika diteliti, BMF bukanlah kempen yang bersifat perkauman kerana penganut Islam bukan hanya terdiri dalam kalangan bangsa Melayu sahaja tetapi pelbagai kaum dan etnik.

BMF merupakan satu usaha jihad dalam kalangan masyarakat muslim untuk meningkatkan taraf serta penguasaan ekonomi Islam.

Di sebalik tindakan berulang mereka yang tidak sensitif dengan terus menghina serta memperlekeh Islam di negara ini, tindakan boikot sesuatu yang wajar namun kemarahan itu harus diterjemah dengan membantu sesama Muslim.

Umat Islam harus memberi keutamaan kepada produk Muslim dalam segala hal sama ada barangan keperluan sehinggalah perkhidmatan agar bagi mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan lain.

Usahawan Islam juga harus segera mengambil peluang ini untuk memberikan alternatif kepada masyarakat untuk tidak bergantung kepada satu-satu jenama atau syarikat.

Selain BMF, kempen sedekah ringgit juga boleh dilakukan dengan tidak berkira membeli barangan di kedai orang Islam walaupun harga di kedai lain lebih murah bagi membantu peniaga Muslim bersaing.

Harus diingat bahawa mencari yang halal itu satu kewajipan buat umat Islam dan usaha membantu perniagaan Islam akan memberi manfaat kepada kepada ummah sekaligus membantu meningkatkan jumlah pembayar zakat.

Cuma, di sebalik semua yang berlaku, jangan pula ada dalam kalangan peniaga Islam mengambil kesempatan dengan menjual produk atau perkhidmatan tidak berkualiti kepada pelanggan.

Sepanjang Ramadan ini pun ada sahaja kisah karipap berintikan angin, popia berinti sayur hangit, martabak daging tapi bawang semata dan sebagainya dijual di bazar Ramadan.

Peniaga yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata ini pun harus diboikot kerana menzalimi pengguna.

Yakinlah juga bahawa balasan syurga dan neraka itu akan mengawal tingkah laku dan tindakan segelintir peniaga yang tidak jujur ini.

Perlu diingat, semua kempen ini hanya akan berjaya jika dibuat bersungguh-sungguh dan berterusan, bukan hanya ketika musim kita marah.

Usaha membantu ekonomi Islam ini harus dijayakan tanpa henti agar masyarakat Islam tidak lagi perlu bergantung kepada produk atau perkhidmatan syarikat yang tidak sensitif terhadap Islam.

Isu penghinaan Islam tidak akan berlaku jika umat Islam bersatu padu dalam semua perkara kerana menjadi tanggungjawab kita menjaga kesucian agama daripada diperlekeh pihak-pihak tertentu.

Permohonan maaf bukan jaminan isu penghinaan Islam ini tidak akan berulang dan toleransi juga ada hadnya kerana jika umat Islam terlalu bertolak ansur dibimbangi mereka akan ditolak beransur-ansur.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Biro Sinar Harian Perak

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28