Isu stoking: NGO persoal pemimpin politik perlekeh kempen boikot

Yushairil Iswan (tengah) bersama beberapa wakil NGO menunjukkan gambar keratan kenyataan beberapa pemimpin yang didakwa memperlekeh usaha boikot kepada pemberita di hadapan Balai Polis Sungai Senam di sini pada Ahad.
Yushairil Iswan (tengah) bersama beberapa wakil NGO menunjukkan gambar keratan kenyataan beberapa pemimpin yang didakwa memperlekeh usaha boikot kepada pemberita di hadapan Balai Polis Sungai Senam di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Perak mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin politik bukan Islam yang seolah-olah mempertahankan penjual stoking tertera kalimah ALLAH dengan memperlekeh usaha boikot yang dilakukan oleh umat Islam.

Wakil NGO Misi Kita, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata, usaha boikot yang dilakukan umat Islam ketika ini sebagai solidariti terhadap tindakan pihak tertentu yang menghina ALLAH.

Menurutnya, isu penghinaan seperti itu bukanlah pertama kali berlaku di negara ini, malah setiap kali terjadi dengan mudah diselesaikan dengan permohonan maaf tanpa ada hukuman setimpal dikenakan.

"Isu ini sangat sensitif bagi umat Islam, ini bukan kali pertama, banyak kali, tapi bila jadi, lepas dua tiga hari buat permohonan maaf tapi sampai bila.

"Jadi kita tak ada kompromi selepas ini. Kita orang Melayu Islam, kita sudah berlembut, nasihat baik-baik, bertolak ansur, lapor polis dan boikot secara aman.

"Jadi tak perlulah ada mana-mana pihak yang keluarkan kenyataan seolah-olah mahu memperkecilkan isu-isu sensitif seperti ini," katanya kepada pemberita di hadapan Balai Polis Sungai Senam di sini pada Ahad.

Yushairil Iswan turut menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang dengan mengenakan tindakan paling tegas terhadap pihak yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama Islam.

Menurutnya, umat Islam di negara ini juga tidak perlu berganjak untuk meneruskan kempen boikot terhadap kedai serbaneka yang menjual stoking tertera kalimah ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kempen boikot itu perlu diteruskan bagi menunjukkan kuasa beli umat Islam yang sangat besar di negara ini.

"Kami di sini bangkit untuk nyatakan solidariti kami bahawa isu kalimah ini sangat sensitif dan saya berharap orang Melayu Islam di Malaysia terus boikot dan jangan beri satu pun peluang kepada mereka.

"Semoga pihak berwajib memberi hukuman setimpal dan paling tegas," katanya.

Pada sidang media itu beberapa NGO lain termasuk Prihatin Kuala Kangsar, Panji Iman Malaysia dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Cakna Tapah (Permat) turut bersama-sama membuat laporan polis.

Sebelum ini beberapa pemimpin politik menganggap tindakan boikot terhadap sebuah kedai serbaneka yang menjual stoking tertera kalimah ALLAH sebagai tidak wajar.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28