Bekas Pengarah SRC nafi bertanggungjawab atas kerugian syarikat

SRC memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan beliau telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu. Foto Bernama
SRC memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan beliau telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, menafikan dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerugian yang dialami syarikat itu adalah disebabkan oleh pelbagai tindakan atau kegagalan bertindak oleh bekas-bekas pengarahnya.

Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, enggan dipersalah bagi kerugian itu dan berkata, beliau telah menggesa rakan CEO iaitu Nik Faisal Ariff Kamil untuk cuba mendapatkan semula wang yang sudah dibayar oleh SRC di luar negara selepas mengetahui kerugian teruk yang dialami oleh syarikat berkenaan.

Mohammed Azhar, 69, turut menyangkal dakwaan Najib bahawa bekas-bekas pengarah SRC termasuk dirinya telah melanggar kewajipan statutori mereka kerana beliau tidak boleh dipersalah bagi perkara yang berlaku sebelum beliau memegang jawatan itu.

"Tugas khusus saya ketika menyertai SRC ialah untuk melaksana serta memastikan Projek Saluran Paip Gas Sabah dan Projek Saluran Paip Semenanjung berjalan lancar dengan dua daripada tiga projek minyak dan gas yang telah dikenal pasti menyaksikan peranan saya sebagai CEO," kata saksi itu yang memberi keterangan sebagai pihak ketiga dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadap Najib.

Pengarah SRC dari 29 Julai 2014 hingga 22 Februari 2017 itu pada mulanya dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut namun nama beliau kemudian dikeluarkan oleh SRC sebelum dimasukkan semula sebagai pihak ketiga oleh bekas Perdana Menteri berkenaan.

Saksi itu juga menafikan bahawa Lembaga Pengarah memiliki kuasa eksklusif untuk menguruskan syarikat tersebut seperti dakwaan Najib kerana Nik Faisal, yang merupakan sebahagian pengurusan SRC, akan memberikan taklimat kepada Lembaga Pengarah mengenai kewangan SRC.

"Saya dan Ahli Lembaga Pengarah lain mengarahkan Nik Faisal dan pihak pengurusan untuk membuat rancangan bagi mendapatkan semula wang itu.

"Itu sahaja yang mampu saya lakukan kerana wang pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) telah dikeluarkan daripada SRC sebelum saya memegang jawatan sebagai pengarah," menurutnya dalam pernyataan saksi.

Artikel Berkaitan:

Pinjaman RM4 billion KWAP telah diberikan pada separuh kedua tahun 2011 dan separuh pertama tahun 2012.

Mohammed Azhar berkata, semasa mesyuarat Lembaga Pengarah pada 28 April 2015, Nik Faisal telah memberi taklimat dan memaklumkan bahawa dana yang disimpan dalam Bank BSI telah dilaburkan dengan selamat.

"Beliau memaklumkan Lembaga Pengarah bahawa jika kami mengambil semula dana itu sebelum tempoh matang, SRC terpaksa membayar penalti yang tinggi. Terdahulu kami dimaklumkan bahawa keadaan kewangan SRC tidak begitu baik kerana jumlah hutangnya telah melebihi aset.

"Sebagai jawapan, saya menegaskan kepada Nik Faisal bahawa beliau perlu berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula dana yang disimpan di Bank BSI. Malah Lembaga Pengarah telah memutuskan untuk membentangkan pelan penebusan pada mesyuarat seterusnya," kata beliau.

SRC, di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28