AS$8.99 juta diterima BVI dikawal sekutu Jho Low - Saksi

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penyelesai hutang (liquidator) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa bayaran AS$8.99 juta diterima syarikat Blackstone Real Asia Estate Partners Ltd (BVI) dikawal oleh sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi pendakwaan kedua, Angela Barkhouse berkata demikian dalam satu pernyataan saksi, ketika prosiding saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan pertama dan kedua, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Angela yang juga pakar pemulihan aset luar pesisir berkata, wang yang diterima itu kemudiannya dirumuskan oleh penyiasat kewangan sebagai wang sogokan.

"Saya ambil maklum, ketika transaksi dibuat daripada Gobi Coal & Energy Limited (GCE) kepada Blackstone dan Globalink Private Aviation Ltd, sejurus pembayaran daripada syarikat usaha sama terbabit iaitu Aabar-SRC kepada GCE," katanya.

Sebelum ini, penyiasat kewangan berkata, tiada bukti menunjukkan Najib memulangkan AS$120 juta yang dikatakan daripada SRC kepada firma Singapura, Tanore Finance Corporation.

Beliau turut mengakui tidak melihat bukti melalui dokumen yang menyatakan Najib melakukan demikian menerusi akaun peribadinya di negara ini, kepada akaun Tanore Finance di Singapura pada tahun 2013.

SRC mengemukakan saman pada Mei 2021, terhadap Najib dan Nik Faisal atas dakwaan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi selain melakukan penyelewengan dari dana syarikat itu.

Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 71, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Perbicaraan bersambung 25 Mac ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28