Projek lombong arang batu tidak pernah jadi kenyataan - Saksi

Najib (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi pada Khamis untuk sebutan kes berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi pada Khamis untuk sebutan kes berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek perlombongan arang batu di Mongolia tidak pernah menjadi kenyataan walaupun AS$60 juta telah dibayar oleh SRC International Sdn Bhd kepada anak syarikatnya SRC BVI untuk projek usaha sama dengan syarikat Abu Dhabi bernama Aabar, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Khamis.

Penyelesai hutang SRC BVI, Angela Barkhouse yang merupakan saksi kedua memberi keterangan dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, SRC BVI menjalin usaha sama (JV) dengan Aabar pada 3 November 2011 dengan objektif utama melabur dalam projek yang melibatkan sumber tenaga boleh diperbaharui, sumber asli dan mineral.

"Aabar-SRC diperbadankan pada 25 Oktober 2011 dan pengarah syarikat itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin (bekas Pengarah SRC) serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif Aabar, Mohamed Badawy Al- Husseiny.

"Terma perjanjian itu menetapkan bahawa SRC BVI dan Aabar UAE masing-masing memegang 50 peratus saham syarikat itu dan akan menyumbang sejumlah AS$500 juta, dengan sumbangan awal AS$60 juta.

"Aabar-SRC memperoleh 14 juta saham dalam Gobi Coal & Energy Limited (GCE) pada atau sekitar 8 Disember 2011 dengan harga AS$91 juta. GCE memegang hak ke atas dua lombong arang batu terbuka besar di Mongolia," katanya dalam kenyataan saksinya.

Barkhouse berkata, Aabar-SRC memperoleh sahamnya dalam GCE lebih awal daripada perancangan Tawaran Awam Awal (IPO) pada 2012, dan dana daripada pra-IPO itu akan digunakan untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan awal di lombong dan menyediakan infrastruktur untuk meningkatkan nilai arang batu pada IPO nanti.

"Tiada bukti bahawa IPO ini berlaku dan maklumat daripada GCE menunjukkan bahawa lombong itu tidak pernah mengeluarkan arang batu secara komersial atau menjana sebarang hasil daripada operasi perlombongan.

"Hantaran e-mel daripada pengarah semasa GCE, Joseph Borkowski kepada Quantuma International, pada 2021 menunjukkan bahawa lombong itu terkandas tanpa logistik untuk mengeksport arang batu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Barkhouse berkata, kemudiannya pada 6 Disember 2011 sejurus selepas AS$91 juta dibayar oleh Aabar-SRC kepada GCE, beberapa pembayaran lain dibuat atas nama GCE termasuk AS$8.99 juta kepada Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan AS$4.99 juta kepada Globalink Aviation Limited.

Bagaimanapun Barkhouse berkata, beliau tidak dapat mengenal pasti pemilik benefisial Globalink.

Sebelum ini dalam satu lagi perbicaraan melibatkan Najib, Blackstone Asia Real Estate Partners dilaporkan sebagai Syarikat Tersedia yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan ia membawa nama yang sama dengan firma ekuiti persendirian hartanah, Blackstone Real Estate.

Saksi itu berkata, berdasarkan kepada masa urus niaga daripada GCE ke Blackstone dan Globalink yang berlaku sejurus selepas pembayaran daripada Aabar-SRC kepada GCE, ia menunjukkan bahawa pembayaran ini mungkin 'suapan' untuk pelaburan AS$91 juta ke dalam GCE.

SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman pada Mei 2021 mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana syarikat, dan menyalahguna dana berkenaan.

Syarikat itu menuntut ganti rugi am, teladan dan kerugian tambahan, serta faedah, kos dan relif lain yang sesuai yang diberikan oleh mahkamah.

Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya dan mereka menuntut Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang mereka alami.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022, dan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 25 Mac. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28