ADUN Kinrara bantah tanah sekolah diambil untuk pembangunan

Bantahan pihak sekolah serta ibu bapa susulan tuntutan pemaju mahu mengambil sebahagian sekolah untuk tujuan pembangunan. (Sze Han)
Bantahan pihak sekolah serta ibu bapa susulan tuntutan pemaju mahu mengambil sebahagian sekolah untuk tujuan pembangunan. (Sze Han)
A
A
A

PUCHONG - Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara tidak pernah bersetuju dengan keputusan sebuah syarikat pemaju perumahan mengambil alih tiga bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara bagi tujuan pembangunan.

ADUN Kinrara, Ng Sze Han berkata, pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta prihatin terhadap keperluan dan kebajikan 700 pelajar sebelum memutuskan pengambilan tanah terbabit.

Menurutnya, pihak terbabit juga digesa mencari langkah penyelesaian yang lebih baik dan bertanggungjawab bagi memastikan hak sekolah terbela.

"SJKT Ladang Kinrara telah wujud sejak tahun 1946, sebelum persempadanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibuat pada tahun 1974 di mana garisan sempadan yang ditetapkan itu telah masuk ke dalam sebahagian kawasan sekolah tersebut.

"Sekitar tahun 2020, DBKL telah meluluskan pembinaan pangsapuri dua blok Residensi Wilayah dengan lebih 1,600 unit rumah terletak di sebelah sekolah tersebut dan dipisahkan oleh Jalan Kinrara Mas iaitu sebuah jalan dua lorong dua hala," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Susulan itu katanya, pemaju telah disyaratkan untuk melebarkan jalan ini kepada empat lorong, dan perlu mengambil alih kawasan sekolah tersebut.

"Mesyuarat pada 7 Disember 2023 di ibu pejabat DBKL telah membuat keputusan membenarkan pemaju menaik taraf jalan kepada tiga lorong sahaja buat masa ini.

"Ini tidak akan mengganggu mana-mana aset atau kawasan SJKT Ladang, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kenyataan bahawa pihak pemaju mahu penyerahan bahagian sekolah tersebut dilakukan pada 1 April 2024 adalah mengejutkan.

Tambahnya, pihaknya telah menghubungi Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan susulan berkenaan perkara ini.

Pada Ahad sebuah portal melaporkan pihak sekolah berkenaan menolak untuk menyerahkan tanah terbabit kepada pemaju melainkan mendapatkan pampasan setimpal.

Pemaju meminta tanah sekolah berkeluasan 277 meter persegi itu diserahkan untuk pembesaran Jalan Kinrara Mas.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28