PRK DUN Kuala Kubu Baharu: PN buat keputusan selepas selesai urusan kebumi

Dominic
Dominic
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti komponen Perikatan Nasional (PN) belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai calon yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebarang keputusan akan dibuat selepas segala urusan pengebumian Kee Hiong daripada DAP selesai.

"Urusan pengebumian belum selesai lagi oleh itu Gerakan berpendapat tak sesuai beri pandangan mengenai PRK Kuala Kubu Baharu. Kita mesti hormat Lee Kee Hiong.

"Tambahan pula PN belum ada perbincangan...pada masa sesuai PN akan umum pendirian, pendekatan, strategi, calon kita. Kita akan umumkan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran logo dan slogan Chaiyo Gerakan di Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Kee Hiong meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos tahun lalu menyaksikan Kee Hiong yang menyandang kerusi itu sejak 2013 menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Sementara itu, ditanya mengenai pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad zahid Hamidi yang mengumumkan pihaknya tidak akan menuntut kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH), Dominic secara sinis berkata, PN berbeza dengan PH.

Ujarnya, sebarang ketetapan akan dibuat apabila tiba masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28