RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 lulus di Dewan Rakyat

Nik Nazmi ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
Nik Nazmi ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 yang bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pindaan akta itu dapat memantapkan lagi penguatkuasaan, pencegahan pencemaran dan jenayah alam sekitar daripada terus berlaku dengan peningkatan kadar penalti serta kompaun, selain membolehkan tindakan tegas diambil terhadap penjenayah alam sekitar.

"Ketegasan melalui peningkatan denda ini adalah sebagai isyarat keseriusan kerajaan dalam membanteras pencemaran dan jenayah alam sekitar di Malaysia.

"Kementerian sentiasa komited untuk memuktamadkan rang undang-undang ini sebagai satu daripada usaha dalam memperkasa aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang merupakan tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nik Nazmi berkata, fasa kedua pindaan akta itu kelak akan berbentuk substantif menjurus kepada isu-isu yang akan timbul berkaitan tadbir urus alam sekitar seperti mekanisme mengarusperdanakan alam sekitar, amalan industri hijau dan keperluan laporan Kelestarian Alam Sekitar oleh premis industri.

Terdahulu, sebanyak 16 ahli Parlimen terlibat membahaskan rang undang-undang berkenaan sebelum ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga.

Rang undang-undang ini melibatkan pindaan 28 seksyen Akta 127 yang antara lain merangkumi pemantapan hukuman dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi tempoh lima tahun.

"Rang undang-undang ini juga menetapkan denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, penjara mandatori tidak melebihi tempoh lima tahun dikenakan bagi kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan kepada keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA),” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan Rang Undang-undang Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024.

Nik Nazmi ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua berkata, ia antara lain dapat memperkasakan peranan Lembaga Jurukur Tanah dalam mengawal selia aktiviti pengukuran oleh juruukur tanah berlesen (JTB).

Selain itu, pindaan kepada Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 berkenaan dijangka memberi impak positif melalui peningkatan profesionalisme dan kemajuan kerjaya JTB.

Menurut Nik Nazmi, ia juga bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap hak dan kepentingan pengguna perkhidmatan, serta memastikan perundangan berkaitan bidang ukur geomatik selari dengan peredaran semasa dan kemajuan teknologi di peringkat global. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28