Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Siber 2024

Gobind menggulung Rang Undang-Undang Keselamatan Siber Negara pada sesi Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama
Gobind menggulung Rang Undang-Undang Keselamatan Siber Negara pada sesi Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024, yang bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, menurut RUU itu, terdapat 11 sektor yang ditakrifkan sebagai sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) iaitu sektor kerajaan, perbankan dan kewangan, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan negara serta maklumat, komunikasi dan digital.

Turut tersenarai sektor perkhidmatan jagaan kesihatan; air pembentungan dan pengurusan sisa; tenaga; pertanian dan perladangan; perdagangan industri dan ekonomi; serta sains, teknologi dan inovasi.

Beliau berkata, bagi sektor yang tidak ditetapkan sebagai CNII tidak diwajibkan untuk memaklumkan insiden keselamatan siber kepada Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan ketua eksekutif berkenaan juga tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan siasatan.

"Jika sesuatu entiti itu adalah sektor yang terangkum dalam definisi undang-undang ini, ia terikat, tetapi sekiranya tidak, ia tidak terikat dengan undang-undang ini tetapi mungkin berdasarkan kepada masalah yang kita hadapi itu, undang-undang lain akan terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU itu yang kemudiannya diluluskan selepas 20 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Selain itu, antara lain RUU itu juga berkaitan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara, kewajipan dan kuasa Ketua Eksekutif NACSA, pelantikan ketua sektor dan entiti CNII.

Mengikut data, Gobind berkata, terdapat sebanyak 73 penyedia perkhidmatan keselamatan siber, namun data tersebut hanya dapat dimuktamadkan selepas RUU itu berkuat kuasa serta apabila proses pendaftaran dan pelesenan bermula. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28