Tipu katering: Fauziah ada empat kes dihendaki polis

Hoo Chang Hook. Laporan Sinar Harian
Hoo Chang Hook. Laporan Sinar Harian
A
A
A

JEMPOL - Polis meminta kerjasama seorang wanita untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penipuan dalam urusan katering di daerah ini yang berlaku pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, wanita berkenaan, Fauziah Abdul Hamid, 40, dengan alamat terakhir di Taman Alam Budiman, Shah Alam, Selangor.

"Seorang individu mendakwa sebagai peguam kepada Fauziah ada menghubungi pegawai penyiasat untuk menyelesaikan kes terbabit dengan membuat bayaran kepada mangsa yang terlibat.

"Bagaimanapun dia diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol namun enggan memberikan kerjasama selain turut didapati mempunyai tiga kes lagi dikehendaki polis bersabit kes penipuan antaranya di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai sambutan Hari Polis ke-217 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini pada Isnin.

Chang Hook menyerahkan sijil penghargaan kepada orang awam pada majlis tersebut.
Chang Hook menyerahkan sijil penghargaan kepada orang awam pada majlis tersebut.

Sebelum itu seramai 35 individu dalam kalangan warga IPD Jempol dan orang awam termasuk enam pengamal media menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Jempol bersempena majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu tersebut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat BSJK IPD Jempol, Sarjan Norhisham Zulkifli di nombor telefon 017-6219957 atau 06-4582222 sambungan 102,” katanya.

Chang Hook (tengah) ketika bergambar dengan anggota trafik IPD Jempol.
Chang Hook (tengah) ketika bergambar dengan anggota trafik IPD Jempol.

Pada 25 Disember tahun lalu media melaporkan sebuah majlis perkahwinan di daerah ini bertukar menjadi 'mimpi ngeri,' apabila pihak katering tidak muncul.

Berikutan itu, keluarga pengantin mengalami kerugian kira-kira RM13,000 akibat ditipu dan terpaksa memasak sendiri hidangan selain mencari set kerusi dan meja untuk diletakkan di dalam dewan yang sudah ditempah.