JSJK terima laporan dakwaan peguam tipu urusan jual beli tanah

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa telah ditipu seorang peguam berpangkat Datuk dalam urusan penjualan tanah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan itu pada 16 Mac lalu.

"Menurut pengadu pada November tahun lalu, dia telah berjumpa dengan suspek dan bersetuju untuk melantik firma guaman itu bagi menguruskan penjualan tanah pusaka milik mangsa di Sepang, Selangor," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Ramli berkata, tanah tersebut telah berjaya dijual dengan harga RM1.4 juta dan pengadu telah menerima sebanyak RM381,110.

"Berdasarkan perjanjian, suspek bertanggungjawab untuk menguruskan wang jualan tersebut untuk tujuan pembayaran kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menyerahkan bakinya kepada pengadu.

"Namun sehingga kini, suspek didapati gagal berbuat demikian. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Semua peguam dinasihatkan agar sentiasa memelihara kepentingan anak guam masing-masing, selaku pengamal undang-undang, peguam seharusnya sentiasa bertindak jujur dan berintegriti dalam apa jua tindakan yang dilakukan," ujarnya.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, JSJK telah membuka lima kertas siasatan berkaitan penipuan pelaburan melibatkan Skim Pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah melibatkan nilai kerugian RM 745,685 sejak Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Melalui siasatan yang dijalankan, skim ini mula beroperasi sejak 2019 dan menjanjikan pulangan tinggi kepada pelabur kononnya berdasarkan konsep hibah.

"Pulangan yang ditawarkan adalah RM1 juta bagi setiap RM1,000 yang dilaburkan dan tawaran pelaburan ini dibuat secara bersemuka iaitu melalui kenalan serta

saudara mara," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian akan mengikuti seminar dan kursus yang diadakan dan setelah yakin dengan skim pelaburan yang ditawarkan, mangsa akan mula memindahkan wang ke akaun yang diberikan.

"Bagaimanapun, setelah pindahan wang dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan kes dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ramli berkata, mana-mana individu yang menjadi mangsa skim penipuan terbabit untuk segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Portal Semakmule CCID, Alert List Bank Negara Malaysia, dan Suruhanjaya Sekuriti (melalui platform investment checker) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!