50 kes tangkapan dalam tempoh seminggu - Maritim Malaysia

Hamid (kanan) menyampaikan bingkisan raya kepada anggota KM Arau ketika lawatan di perairan Kota Kinabalu.
Hamid (kanan) menyampaikan bingkisan raya kepada anggota KM Arau ketika lawatan di perairan Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan 50 kes tangkapan dalam tempoh seminggu pelaksanaan Op Khas Pagar Laut 1/2024 yang dilaksanakan di seluruh perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kes tangkapan tersebut membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai yang dianggarkan lebih RM4.5 juta.

"Kes tangkapan itu adalah bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

"Bagi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 16 kes tangkapan dengan nilai rampasan hampir RM400,000 di bawah undang-undang sama," katanya ketika mengadakan tinjauan Op Khas Pagar Laut di perairan Kota Kinabalu pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah; Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik dan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi Ferdaus.

Hamid menjelaskan, operasi itu diaktifkan semula di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di kawasan titik panas pada bulan Ramadan dan Syawal.

"Operasi khas ini dilaksanakan dalam empat fasa iaitu bermula Fasa I iaitu persediaan (pengumpulan maklumat dan siap siaga aset) pada 12 Mac hingga 17 Mac ini diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan (18 Mac hingga 1 April).

"Seterusnya Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan (2 April hingga 16 April) dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan (17 April hingga 30 April)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamid dalam pada itu turut berkata, kejayaan yang dicatatkan adalah bukti pegawai dan anggota agensi ini melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan dengan komitment tang tinggi dan berintegriti.

Justeru beliau menyeru agar seluruh warga Maritim Malaysia meneruskan momentum berkenaan agar tanggungjawab yang digalas ini terus mendapat kepercayaan kerajaan seterusnya keselamatan dan ketenteraman rakyat terjaga khususnya ketika menjelang lebaran nanti.

Pada sesi tinjauan itu, Hamid turut menyampaikan bingkisan raya kepada warga Kapal Maritim (KM) Arau melalui pegawai memerintahnya Kepten Maritim Solehudin Zakaria serta pegawai memerintah kapal maritim yang menjalankan operasi di negeri ini.

Melalui bingkisan yang disampaikan itu, beliau berharap ia dapat menceriakan pegawai dan anggota KM Arau yang kini bertugas berjauhan daripada keluarga sempena perayaan kali ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28