Peluru berpandu Huthi bedil kapal tangki China

Gambar satelit menunjukkan sebuah kapal dagang merentasi Laut Merah yang rosak akibat serangan peluru berpandu kumpulan Huthi. - Foto AFP
Gambar satelit menunjukkan sebuah kapal dagang merentasi Laut Merah yang rosak akibat serangan peluru berpandu kumpulan Huthi. - Foto AFP
A
A
A

DUBAI - Sebuah kapal tangki minyak milik China diserang dengan peluru berpandu balistik oleh kumpulan Huthi di perairan di luar Yemen pada Sabtu.

Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, kumpulan Huthi meningkatkan serangan ke atas perkapalan Laut Merah, sekali gus menjejaskan laluan perdagangan laut utama global.

Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) berkata, kapal Huang Pu yang mengibarkan bendera Panama, dimiliki dan dikendalikan oleh China, membuat panggilan kecemasan, tetapi tidak meminta bantuan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan kapal itu meneruskan perjalanannya," menurut kenyataan CENTCOM di platform media sosial X pada awal pagi Ahad.

Huthi yang disokong Iran menguasai sebahagian besar Laut Merah di Yemen dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu serta dron ke atas kapal dagang merentasi laluan itu.

Tindakan itu bermula dengan menyasarkan kapal berkaitan Israel kira-kira empat bulan lalu atas alasan solidariti dengan perjuangan penduduk Palestin di Gaza, yang tersepit dalam perang antara Israel dan Hamas.

Namun, tindakan kumpulan Huthi itu kini semakin dikritik masyarakat antarabangsa kerana hampir kesemua kapal dagang yang menggunakan Laut Merah menjadi sasaran mereka.

CENTCOM berkata, Huthi melancarkan empat peluru berpandu balistik anti-kapal di Laut Merah berhampiran Huang Pu sebelum peluru kelima menghentam kapal itu.

Artikel Berkaitan:

"Huthi menyerang MV Huang walaupun sebelum ini menyatakan mereka tidak akan menyerang kapal China," katanya. - AFP