Isu stoking satu peringatan kembali sokong produk Muslim - NGO

Mohamad Ali (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Baitul Tariq, Klebang, Melaka pada malam Jumaat.
Mohamad Ali (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Baitul Tariq, Klebang, Melaka pada malam Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Isu kontroversi penjualan stoking tertera kalimah ALLAH baru-baru ini memberi peringatan untuk umat Islam kembali dan terus menyokong produk serta perkhidmatan keluaran muslim.

Pengerusi Muafakat Ummah Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu menghidupkan semula kempen Buy Muslim First (BMF) untuk mempertimbangkan keadaan ekonomi ummah ketika berbelanja.

Menurutnya, sekali gus menunjukkan semangat kesatuan umat Islam dalam membentuk ruang lingkup ekonomi yang baik dan boleh dibanggakan pada masa akan datang.

"Apabila timbul sesuatu perkara ini (isu kalimah ALLAH), pada saya ia merupakan satu peringatan ataupun kesedaran yang telah diberikan oleh ALLAH supaya umat Islam sebenarnya boleh bersatu termasuk dalam sektor ekonomi.

"Jika kempen ini dapat diteruskan mungkin 20 atau 30 tahun akan datang, pasar raya di negara ini terdiri daripada peniaga Islam itu sendiri dan berdiri bersama peniaga bukan Islam yang lain," katanya.

Mohamad Ali berkata demikian ketika sidang akhbar di Baitul Tariq, Klebang di sini pada malam Jumaat.

Jelasnya, lebih 30 NGO Islam di seluruh negara juga akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi memperkasakan usaha tersebut dalam masa terdekat ini.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah ALLAH yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, Selangor selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, pengurusan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking itu di beberapa cawangan kedai serbaneka 24 jam itu.

Pihak berkenaan turut menjelaskan bahawa penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH di beberapa kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart adalah produk konsainan oleh pihak vendor.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28