KK Mart di Johor diserbu, satu diarah tutup, lima dikompaun

Operasi di salah sebuah kedai serbaneka di Batu Pahat.- Foto MPBP.
Operasi di salah sebuah kedai serbaneka di Batu Pahat.- Foto MPBP.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi bersepadu besar-besaran telah dilakukan di kedai serbaneka KK Mart di negeri ini oleh pihak berkuasa pada Rabu.

Operasi berkenaan merupakan langkah agresif dan segera yang diambil pihak berkuasa negeri ini sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenaan kalimah ALLAH yang perlu sentiasa dimuliakan.

Menerusi perkongsian di media sosial, tiga pihak berkuasa tempatan membabitkan Segamat, Muar dan Batu Pahat telah memeriksa beberapa kedai KK Mart di lokasi masing-masing, namun tidak menemui stoking kalimah ALLAH.

Di Segamat, sebuah cawangan kedai serbaneka terbabit yang terkait isu stoking tertera kalimah ALLAH di Jementah, diarahkan menutup operasi mereka serta-merta selepas didapati tidak mengasingan minuman keras dan minuman biasa, di premis itu, semalam.

Majlis Perbandaran Segamat (MPS) memaklumkan pemeriksaan lanjut yang dijalankan turut mendapati premis itu turut menyorokkan minuman keras tanpa lesen yang sah daripada MPS.

Operasi yang dijalankan di sebuah kedai serbaneka KK Mart di Segamat.
Operasi yang dijalankan di sebuah kedai serbaneka KK Mart di Segamat.

"Operasi bersepadu yang dijalankan semalam mendapati tiada penjualan atau penyimpanan stoking yang tertera kalimah ALLAH, di premis berkenaan, selain ia beroperasi dengan lesen perniagaan sah tempoh.

"Namun, premis berkenaan telah diarahkan untuk menutup operasi serta-merta selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017, kerana tiada pengasingan dibuat bagi minuman keras dan minuman biasa.

Artikel Berkaitan:

"MPS telah menyita sebanyak 196 botol minuman keras berkenaan selaras di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 50 (1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017," ujarnya.

Sementara Majlis Perbandaran Muar (MPM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan hasil dari pemeriksaan yang dilakukan di empat kedai serbaneka mendapati tiada lagi penjualan atau penyimpanan stoking yang menulis kalimah ALLAH.

"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa pelanggaran syarat yang dibuat oleh keempat-keempat kedai serbaneka tersebut.

"MPM telah mengeluarkan kompaun serta merta terhadap pelanggaran yang dibuat oleh ke empat - empat kedai serbaneka tersebut," katanya.

Operasi di salah sebuah kedai serbaneka di Batu Pahat.- Foto MPBP.
Operasi di salah sebuah kedai serbaneka di Batu Pahat.- Foto MPBP.

Seterusnya, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) di laman Facebooknya, memaklumkan operasi khas pemeriksaan lima premis kedai serbaneka telah dijalankan pada Rabu

Namun, pemeriksaan tersebut tidak menemukan sebarang barang yang menjadi kebimbangan, khususnya stoking yang tertera kalimah ALLAH.

Notis kompaun dikeluarkan kepada sebuah kedai atas kesalahan tidak memiliki lesen pengiklanan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Iklan (MPBP) 2010.

Pada Rabu, sebanyak 80 premis perniagaan termasuk rangkaian kedai serbaneka yang dikaitkan dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah, dilaporkan diserbu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, operasi bersepadu besar-besaran itu membabitkan kesemua 10 daerah di negeri ini dan diadakan secara serentak.

Katanya, operasi bersepadu itu turut membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Kadi Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menumpukan rangkaian kedai yang menjual pakaian dan alat tulis.