Kilang edar stoking kalimah ALLAH langgar syarat lesen

Mohd Jafni. Foto Bernama. Laporan Sinar Harian
Mohd Jafni. Foto Bernama. Laporan Sinar Harian
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd yang tular berikutan pengedaran stoking tertera kalimah Allah didapati melanggar syarat aktiviti lesen perniagaan yang diluluskan.

Justeru,Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pemilik syarikat diberi tempoh 60 hari bagi menjelaskan perkara itu kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

"Kilang itu sepatutnya menjalankan aktiviti stor dan pengedaran kasut sahaja tetapi dia buat aktiviti pembungkusan stoking dan sarung tangan dan ini tidak ada dalam permohonan lesen mereka jadi itulah sebab notis membatalkan lesen dan penutupan premis diberikan kepada mereka,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai notis pembatalan lesen perniagaan dan notis penutupan operasi perniagaan terhadap kilang yang mengedarkan stoking tertera kalimah Allah ke kedai serbaneka KK Super Mart.

Pemilik syarikat katanya, perlu hadir ke pejabat MPBP dan membentangkan tindakan penambahbaikan untuk meyakinkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyambung semula lesen mereka.

Mohd Jafni dalam pada itu berkata, pemeriksaan yang dilakukan di 73 kedai serbaneka KK Mart di negeri ini mendapati tiada stoking tertera kalimah Allah ditemukan namun mendapati pelbagai kesalahan pelanggaran syarat lesen antaranya iklan tidak mengikut spesifikasi dan tidak mengasingkan barang-barang tidak halal dengan barang halal.

"Jadi sudah sampai masa PBT kena ada rutin pemeriksaan yang lebih agresif bukan sahaja di KK Mart malah kita akan buat pemeriksaan di semua kedai serbaneka lain.

"Sebelum ini PBT memang ada buat secara berkala tetapi mungkin kita selepas ini akan buat bersama agensi-agensi lain supaya nak pastikan kedai serbaneka ini mematuhi syarat yang ditulis di dalam permohonan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selasa lepas, Polis merampas lima pasang stoking tertera kalimah Allah yang dipulangkan oleh rangkaian kedai serbaneka ketika pemeriksaan di kilang berkenaan yang menjadi tempat pembungkusan dan pengedaran stoking itu ke rangkaian kedai serbaneka beralamat di Cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut telah mengimport sebanyak 16 bungkusan yang berisi 18,800 pasang stoking namun tiada lagi stoking tertera kalimah Allah ditemukan kecuali yang telah dirampas.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1988 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!