Isu stoking kalimah ALLAH: Jadi pengajaran untuk saling menghormati

Ka Siong (tengah) semasa sidang media pada Jumaat.
Ka Siong (tengah) semasa sidang media pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu stoking yang tertera kalimah ALLAH diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk saling menghormati, kata Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, beliau juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru semua pihak tidak memanjangkan lagi isu berkenaan.

"Saya setuju dengan kenyataan Perdana Menteri untuk kita 'move on'. Satu pengajaran lah yang kita dapat daripada insiden ini dan secara ikhlasnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu saling menghormati.

"Kalau pemimpin terulung negara dah buat kenyataan dan nasihat termasuklah titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) jadi kita menjunjung titah Tuanku," katanya menjawab soalan mengenai isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di ibu pejabatnya di sini pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Seri Paduka Baginda mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu itu berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Baginda juga mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, insiden berkenaan sememangnya memberikan pengajaran kepada MCA.

Malah katanya, hubungan akrab sesama rakyat berbilang kaum di negara ini perlu diteruskan.

"Masa ini adalah untuk kita sama-sama bertindak sebagai rakyat Malaysia dengan mendalami atau merapatkan hubungan akrab kita, hubungan kita sesama kaum dengan faham memahami," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28